Tender tak dapat, kontraktor binaan rugi lebih RM50,000

Seorang kontraktor binaan di Temerloh kerugian sebanyak RM50,370 selepas diperdaya rakan kenalannya dengan tawaran tender pakaian pada 28 Julai lalu. - Gambar hiasan
Seorang kontraktor binaan di Temerloh kerugian sebanyak RM50,370 selepas diperdaya rakan kenalannya dengan tawaran tender pakaian pada 28 Julai lalu. - Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Seorang kontraktor binaan di Temerloh kerugian sebanyak RM50,370 selepas diperdaya rakan kenalannya dengan tawaran tender pakaian pada 28 Julai lalu.

Kejadian bermula ketika mangsa yang berusia 40 tahun menerima tawaran daripada rakan dikenalinya empat tahun lalu kononnya untuk projek tender kerajaan dan swasta bagi membuat pakaian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa mengadakan perbincangan dan bersetuju dengan tender yang ditawarkan kepadanya melalui aplikasi WhatsApp.

"Suspek meminta agar mengeluarkan modal sebanyak RM50,370 terlebih dahulu dan menjanjikan pulangan modal lumayan hasil daripada keuntungan perolehan tender terbabit.

"Bagi urusan tersebut, mangsa telah membuat sebanyak 13 transaksi ke akaun bank yang diberikan suspek," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mohd Wazir berkata, selepas kesemua pembayaran dibuat, mangsa bertanyakan suspek mengenai pulangan yang dijanjikan.

Bagaimanapun, katanya, suspek tidak menjawab pertanyaan itu dan kedua-dua nombor telefon gagal dihubungi.

"Mangsa merasakan dirinya telah ditipu kemudian tampil membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bagi siasatan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," jelas beliau.