Insentif RM50,000 buat pemenang emas xiangqi di Kemboja

Kin Wai (tengah) ketika sidang media di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto MSN
Kin Wai (tengah) ketika sidang media di Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Isnin. - Foto MSN
A
A
A

PERSATUAN Xiang Qi Malaysia membuat kejutan apabila menawarkan insentif kemenangan bernilai RM50,000 kepada atletnya yang berjaya merangkul pingat emas pada Sukan SEA 2023 di Kemboja dari 5 hingga 17 Mei ini.

Pengurus pasukan, Seck Kin Wai berkata, nilai insentif itu sebagai usaha memotivasikan barisan atlet terdiri daripada empat lelaki dan dua wanita yang akan mengambil bahagian dalam keseluruhan empat acara sukan xiangqi atau catur Cina yang dipertandingkan.

Beliau berkata, insentif tersebut juga menunjukkan tahap keseriusan persatuan dalam memburu kilauan emas sulung di temasya dwitahunan itu, selepas sekadar membawa pulang dua perak dan tiga gangsa pada edisi lepas di Hanoi, Vietnam.

"Sekurang-kurangnya RM50,000 dijanjikan pihak pengurusan persatuan kepada atlet yang berjaya dapatkan emas kerana kami betul-betul inginkan pingat emas di Sukan SEA," katanya pada sidang media di Majlis Sukan Negara (MSN), Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau berkata, sasaran yang ditetapkan ialah dua perak masing-masing dalam acara individu wanita Standard dan berpasukan lelaki Blitz serta satu gangsa menerusi berpasukan lelaki Rapid, namun tidak mustahil kilauan emas mampu dijelmakan berdasarkan prestasi semasa barisan atlet.

Dalam pada itu, ketua pasukan Russel Sim yang bakal turun berentap dalam acara individu lelaki Standard dan berpasukan lelaki Blitz bersama gandingan Yeoh Thean Jern menaruh harapan tinggi untuk menghadiahkan emas pertama negara.

Katanya, beliau menyimpan hasrat mencipta sejarah sebagai atlet xiangqi pertama negara yang memenangi pingat emas di Sukan SEA.

"Saya harap sebagai ketua pasukan saya boleh menyumbang pingat emas terlebih dahulu dan jadi inspirasi kepada rakan sepasukan untuk turut sama memperoleh kejayaan," kata atlet kelahiran Kuching, Sarawak berusia 39 tahun itu.

Pada edisi lepas, Russel yang juga Xiangqi International Master bersama Thean Jern merangkul perak berpasukan lelaki Rapid.

Satu lagi perak di Hanoi disumbangkan Jee Xin Ru dalam individu wanita Standard dan baki tiga gangsa masing-masing dihadiahkan Tan Yu Huat dan Fang Sze Fei dalam individu lelaki Standard serta gandingan Sze Jie dan Thean Jern (berpasukan lelaki Blitz). - Bernama