UMK terima 2,266 pelajar baharu

Nik Maheran memaklumkan setiap pelajar baharu perlu menyertai program 3M anjuran UMK secara dalam talian dari 3 hingga 5 Oktober 2021.
Nik Maheran memaklumkan setiap pelajar baharu perlu menyertai program 3M anjuran UMK secara dalam talian dari 3 hingga 5 Oktober 2021.
A
A
A

BACHOK - Seramai 2,266 pelajar menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian di Universiti Malaysia Kelantan (UMK) bagi kemasukan sesi September 2021-2022.

Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr Nik Maheran Nik Muhammad berkata, jumlah berkenaan adalah sebahagian daripada 2,380 unjuran pelajar yang bersetuju menerima tawaran untuk melanjutkan pengajian ke UMK.

Menurutnya, proses pendaftaran pelajar telah diadakan secara dalam talian seperti yang ditetapkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan diadakan pada 2 Oktober lalu.

“UMK turut mengambil langkah awal dengan menaik taraf internet termasuklah mempertingkatkan perluasan penggunaan internet yang boleh diakses hampir 10,000 pelajar dalam satu masa bagi memastikan proses pendaftaran berjalan lancar.

“Pelajar baharu yang telah mendaftar akan menjalani program Minggu Mesra Mahasiswa (3M) secara dalam talian dari 3 hingga 5 Oktober 2021.

“Pendekatan ini sebagai langkah keselamatan dan kesihatan terhadap pelajar kerana terdapat pelajar dari beberapa buah negeri masih berada di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya dalam kenyataan di sini pada Selasa.

Menurutnya, untuk kaedah pembelajaran dan pengajaran, bagi sesi Akademik 2021/2022, UMK bersetuju ia dilaksanakan secara hibrid selaras dengan Pekeliling Akademik Bilangan 5/2021-Pemakluman Mengenai Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) bagi Sesi Akademik 2021/22.

Sementara itu, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Dr Razli Che Razak berkata, program 3M secara dalam talian juga disiarkan secara langsung melalui platform Facebook rasmi UMK dan YouTube.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara pengisian program ialah forum dan taklimat dengan objektif program 3M adalah untuk memperkenalkan pelajar baharu mengenai misi, visi dan objektif UMK.

“Program ini amat penting untuk memastikan pelajar turut memainkan peranan serta tanggungjawab ke arah merealisasikan aspirasi universiti.

“Selain itu pelajar turut didedahkan dengan pelbagai informasi tentang kemudahan dan perkhidmatan yang disediakan di universiti,” katanya.