PTPTN: Bukan tak mahu bayar tapi...

No Image Caption
A
A
A

ISU pembayaran balik pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dibincangkan semula di media arus perdana dan media sosial apabila perbadanan itu terus meminta peminjam membayar balik jumlah hutang mereka yang masih tertunggak.

Kebanyakan peminjam memberikan pelbagai alasan berikutan tidak membayar tuntutan hutang berkenaan termasuk kononnya masih menagih janji yang dibuat Kerajaan Pakatan Harapan (PH) melalui manifesto PRU14, mahu menghapuskan pembayaran balik pinjaman itu.

Baru-baru ini Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, kegagalan peminjam membayar balik pinjaman mungkin menjejaskan peluang pelajar yang baru memasuki institusi pengajian tinggi mendapat bantuan agensi itu.

Menurutnya, sejak PTPTN diwujudkan 21 tahun lalu, 362,000 daripada 1.9 juta peminjam tidak membayar balik pinjaman mereka berjumlah RM2.7 bilion.

Wan Saiful menjelaskan, sehingga kini PTPTN mempunyai hutang pokok dengan bank sebanyak RM40 bilion dan faedah pinjaman itu sahaja RM12 bilion.

Isu ini harus diambil perhatian, perlu difikirkan dan dibincang secara serius dan rasional tanpa menuding jari kepada mana-mana pihak.

Sesetengah pihak meminta kerajaan merancakkan semula pembangunan ekonomi negara selepas PRU14 supaya wujud peluang pekerjaan baharu berpendapatan tinggi kepada graduan institusi pengajian tinggi sekali gus mampu membayar balik pinjaman masing-masing.

Langkah ini dianggap lebih praktikal dan menyenangkan hati pelbagai pihak yang terbabit dengan kemelut itu. Ramai yang bersetuju pembayaran balik pinjaman ini amat penting kerana ia merupakan dana pusingan yang boleh membantu mahasiswa, seterusnya membiayai kos pengajian mereka yang belajar di IPT di negara ini dengan lebih selesa.

Artikel Berkaitan:

PTPTN ditubuhkan di bawah Akta Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional pada tahun 1997 yang bertujuan membantu mahasiswa institusi pengajian tinggi awam menyediakan kemudahan kewangan bagi membiayai kos pengajian terutama mereka yang tidak memperoleh sebarang biasiswa daripada mana-mana pihak.

Pemberian pinjaman turut diperluaskan kepada mahasiswa di institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) beberapa tahun kemudiannya. Mahasiswa terbabit dikehendaki membayar semula selepas enam bulan tamat pengajian.

Namun, kesukaran mendapatkan pekerjaan dan terpaksa menanggung beban kos sara hidup, Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu bersetuju tempoh memulakan pembayaran balik pinjaman dipanjangkan kepada setahun selepas menamatkan pengajian mereka.

Pada mulanya PTPTN mendapati sukar mengutip balik pinjaman diberikan tetapi masalah itu dapat diselesaikan apabila perbadanan berkenaan menggunakan peraturan dan undang-undang sedia ada bagi “memaksa” mereka membayarnya.

Sebelum PRU14, gabungan parti PH berjanji dalam manifesto mereka akan memansuhkan permulaan bayaran balik pinjaman sekiranya tidak mempunyai pendapatan bulanan berjumlah lebih RM4,000.

Setelah PH menang dalam PRU14 berkenaan pada 9 Mei lalu, mereka dikatakan gagal menunaikan janji itu dan menetapkan bayaran balik pinjaman mulai 1 Januari 2019 berasaskan dua hingga 15 peratus daripada tangga gaji minimum RM2,000 sebulan.

Mereka boleh membuat bayaran balik minimum RM80 sebulan dan akan meningkat jumlahnya mengikut kenaikan gaji tahunan mereka sehingga 15 peratus. Pengecualian bayaran balik pinjaman turut dikhususkan kepada peminjam yang memperoleh Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama.

Arahan ini menyebabkan peminjam berasa marah dan protes melalui pelbagai saluran.

Akhirnya kerajaan PH menarik balik arahan berkenaan dan berjanji akan meneliti semula kaedah pembayaran balik pinjaman berkenaan.

Kerajaan juga berjanji akan memperkenalkan kaedah baharu berkaitan bayaran balik pinjaman itu.

Peminjam PTPTN bukan tidak mahu membayar balik pinjaman tetapi ia terhalang berikutan kos sara hidup yang tinggi. Selepas tamat pengajian, graduan terpaksa berhempas pulas mendapatkan kerja sementara atau tetap di sektor awam dan swasta dengan gaji antara RM2,000 hingga RM2,200 sebulan.

Oleh itu bagi mengurangkan tekanan hidup ini kerajaan mestilah berusaha menyediakan graduan peluang pekerjaan berpendapatan tinggi di sektor swasta. Pembangunan ekonomi dan infrastruktur perlu digiatkan bagi membuka peluang pekerjaan lebih luas untuk jangka panjang.

* Penulis berkelulusan PhD Sains Politik Universiti Utara Malaysia