Bayar kompaun, isu guna pili bomba selesai luar mahkamah

Foto hiasan 123RF
Foto hiasan 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bertindak mengeluarkan kompaun terhadap pihak menyalah guna pili bomba di Rantau Panjang, Kelantan baru-baru ini.

JBPM dalam satu kenyataan berkata, setelah siasatan dilakukan, JBPM Negeri Kelantan menerusi Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang telah mengambil tindakan mengeluarkan kompaun terhadap pelaku berdasarkan kepada Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu menyalah guna pili bomba.

Menurutnya, ekoran tindakan kompauan dikenakan, status bagi kes tersebut adalah penyelesaian di luar mahkamah apabila pihak pelaku iaitu kontraktor terlibat, Tuan Salehudin Tuan Mat mengaku salah dan membuat bayaran kompaun sebanyak RM100 pada 8 Mei.

"Mengikut Seksyen 26 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341), sesiapa yang menutup, mengepung, atau menyembunyikan mana-mana pili bomba hingga menjadikan tempatnya sukar dipastikan, atau mengganggu mana-mana pili bomba, atau menggunakan pili bomba selain tujuan menentang kebakaran, adalah melakukan suatu kesalahan.

"JBPM juga menegaskan bahawa Seksyen 23 (1) Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) menerangkan notis bagi kerja yang menjejaskan pili bomba.

"Tiada seorang pun selain pihak berkuasa air boleh melakukan apa-apa kerja yang menjejaskan pili bomba atau aliran air kepadanya melainkan telah memberi notis bertulis berkaitan kerja yang akan dilakukan kepada Pengarah Negeri sekurang-kurangnya tujuh hari sebelum kerja dimulakan," kata kenyataan itu pada Khamis.

Tambah kenyataan itu lagi, dalam keadaan kecemasan, kerja-kerja boleh dilaksanakan terlebih dahulu dan notis hendaklah dikemukakan dengan kadar segera kepada Pengarah Negeri.

Menurutnya, berdasarkan Seksyen 24 Akta Perkhidmatan Bomba 1988 (Akta 341) iaitu Kewajipan Pihak Berkuasa Air memberitahu Pengarah Negeri tentang apa-apa tindakan yang menjejaskan aliran air ke pili bomba.

Jelasnya, menjadi kewajipan pihak berkuasa air tersebut memberitahu Pengarah Negeri berkenaan secara bertulis mengenai keputusan tersebut dengan seberapa segera selepas keputusan itu dibuat.

Tegasnya, ia bagi memastikan operasi pemadaman tidak terjejas sekiranya berlaku sesuatu kejadian kebakaran.

Kata kenyataan itu, penyalahgunaan pili bomba boleh mengakibatkan kekurangan isipadu dan tekanan air.

"JBPM menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak sewenang-wenangnya menggunakan air dari pili bomba sebagai jalan penyelesaian kepada kekurangan air di sesuatu kawasan.

"Jika memerlukan bantuan bekalan air, orang ramai hendaklah memohon mengikut saluran yang telah ditentukan iaitu daripada pihak berkuasa air negeri berkenaan," ujarnya.