Kementerian Perpaduan Negara kesal komen unsur perkauman

Laporan Sinar Harian pada Isnin
Laporan Sinar Harian pada Isnin
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perpaduan Negara menyatakan kekesalan di atas komen berunsur perkauman oleh seorang pengguna media sosial terhadap pemain badminton perseorangan negara, S Kisona.

Komen tersebut tular di media sosial ekoran kekalahan Kisona di tangan pemain Jepun, Akane Yamaguchi dalam aksi separuh akhir Piala Sudirman.

Menurut kementerian itu, sukan telah sekian lama menjadi tapak integrasi perpaduan yang menyatukan masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

“Bagaimanapun ia dicemarkan oleh sikap segelintir individu tidak sensitif yang mencetuskan api kemarahan serta perpecahan.

“Seluruh rakyat Malaysia terutama pengguna media sosial diingatkan jangan sesekali menggunakan perkataan yang boleh mencetuskan isu perkauman.

“Walaupun hanya sepatah perkataan, ia tidak wajar sama sekali dalam sebuah negara yang memiliki kepelbagaian kaum dan kerencaman budaya seperti Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Selain itu, Kementerian itu berkata, semua pihak perlu mengelak daripada menggunakan kata-kata yang boleh mengguris hati dan perasaan kaum-kaum lain demi menjaga perpaduan dan keharmonian Keluarga Malaysia.

Jelas kementerian itu, Keluarga Malaysia tidak mengira bangsa atau mana-mana kaum dan etnik. Semangat sebagai sebuah Keluarga Malaysia perlu disemai, dipupuk dan dipelihara agar semua dapat terus hidup dalam keharmonian dan kesejahteraan.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: Polis buka kertas siasatan kes ahli politik hina atlet badminton