Guru tidak divaksin beri kesan terhadap sesi pengajaran

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin (dua, kanan) bertanya sesuatu kepada pelajar ketika mengadakan lawatan pembukaan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Khurshiah pada Isnin. - Foto Bernama
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin (dua, kanan) bertanya sesuatu kepada pelajar ketika mengadakan lawatan pembukaan sekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Khurshiah pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA PILAH - Keputusan sebilangan kecil guru yang belum bersedia untuk menerima vaksin Covid-19 ketika ini memberi sedikit kesan terhadap konteks pembelajaran, pengajaran dan pengurusan di sekolah.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, bagaimanapun jumlah itu adalah terlalu kecil iaitu kira-kira 2,000 orang berbanding jumlah keseluruhan guru di seluruh negara berjumlah 415,000 orang.

"Ada guru yang tidak mahu divaksin ini mengajar satu subjek yang sama untuk setiap kelas di sekolah tersebut, jika beliau tidak mahu divaksin, bagaimana pelajar mahu belajar kerana sekolah itu tiada guru yang mengajar subjek tersebut," katanya pada sidang akhbar selepas mengadakan lawatan kerja di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tunku Kurshiah, Kuala Pilah pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan, Md Fiah Md Jamin.

Mengulas lanjut, Mohd Radzi berkata, dengan mengambil kira jumlah guru dan sekolah, isu guru yang belum bersedia divaksin tersebut tidak menyeluruh, namun kesannya tetap ada kepada pengurusan dan pengajaran di sekolah.

"Sebab itu sebelum ini kita maklumkan, guru yang tidak mahu divaksin kalau perlu ditukarkan, kita tukarkan, ini bukan soal mengugut atau sebagainya, ini soal pentadbiran.

"Perkara ini selaras dengan kenyataan akhbar yang dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sebelum ini yang memaklumkan semua kakitangan awam termasuk guru perlu mengambil vaksin sebelum 1 November ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Radzi berkata, cadangan bagi menukar permulaan sesi persekolahan dari Januari kepada Mac, dengan menjadikan sesi tahun hadapan sebagai panduan dibuat secara berhati-hati selain memastikan ia memberikan impak yang optimum kepada semua pihak.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ketika ini Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) masih meneliti secara terperinci cadangan keperluan tersebut selain turut mengambil kira hasil libat urus bersama pihak berkepentingan seperti ibu bapa dan guru yang memberi maklum balas positif termasuk dalam hal pengurusan peperiksaan dan mengelakkan musim tengkujuh di beberapa negeri.

Mohd Radzi turut mengadakan lawatan di beberapa buah sekolah di negeri ini antaranya SMK Tunku Ampuan Duran, Seremban; SMK Tunku Muhammad, Kuala Pilah; Sekolah Menengah Sains Tunku Jaafar, Kuala Pilah dan Kolej Vokasional Juasseh, Kuala Pilah.