Perhimpunan ICERD, ini nasihat Bersatu Perlis

Wan Saiful Wan Jan
Wan Saiful Wan Jan
A
A
A

SHAH ALAM - Bersatu Perlis menasihatkan penganjur himpunan Tolak ICERD di Kangar esok memikirkan keperluan sebenar perhimpunan itu di negeri berkenaan.

Setiausahanya, Wan Saiful Wan Jan berkata, rakyat tidak sepatutnya tertipu dengan agenda pihak tertentu.

"Saya nasihatkan kepada penganjur agar fikir masak-masak mengenai apa yang diperlukan oleh negeri Perlis. Negeri Perlis memerlukan pembangunan ekonomi dan peluang pekerjaan.

"Janganlah tertipu dengan agenda pihak tertentu yang cuba mengalih perhatian daripada kegagalan mereka menjana idea pembangunan untuk negeri," katanya melalui kenyataan di Facebook, hari ini.

Beliau turut berkongsi sekeping gambar kain rentang Himpunan Aman Rakyat Perlis Tolak ICERD yang akan berlangsung malam esok di Kompleks Pas Negeri Perlis.

Wan Saiful yang juga Ahli Majlis Tertinggi Bersatu mempertikaikan himpunan menolak isu yang telah ditolak kerajaan.

"Ahli Umno juga perlu bertanya apa faedahnya menyokong himpunan ini. Mereka tertinggal bas bahawa ICERD telahpun ditolak oleh kerajaan Malaysia.

"Tidakkah memalukan apabila sebuah parti pemerintah negeri berhimpun menolak isu yang sebenarnya memang telah pun ditolak?," tanyanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menyifatkan malang bagi penyokong Pas negeri itu kerana memperkukuh Umno Perlis yang jelas sedang lumpuh.

"Para pemimpin atasan Pas mungkin mendapat faedah apabila menyokong Umno Perlis.

"Tetapi apa yang diperolehi oleh pejuang Pas yang ikhlas istiqamah dalam perjuangan apabila mereka memperkukuh kedudukan pemimpin Umno yang semakin tidak relevan ini?," katanya.