Malaysia bangunkan MS Standard Grading Kenaf pertama di dunia

Zuraida (dua dari kiri) melihat tilam yang dihasilkan daripada fiber kenaf selepas majlis penyerahan dokumen MS Standard Grading Kenaf di Ibu Pejabat LTKN di Kota Bharu pada Ahad.
Zuraida (dua dari kiri) melihat tilam yang dihasilkan daripada fiber kenaf selepas majlis penyerahan dokumen MS Standard Grading Kenaf di Ibu Pejabat LTKN di Kota Bharu pada Ahad.
A
A
A

KOTA BHARU - Malaysia muncul sebagai negara pertama membangunkan MS Standard Grading Kenaf yang bertindak sebagai penanda aras baharu piawaian gred bagi rujukan industri tumbuhan itu di pasaran domestik dan antarabangsa.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pembangunan inovasi dokumen atau panduan itu juga selaras dengan fokus Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) yang bertujuan meningkatkan sinergi pengkomersialan produk berasaskan kenaf.

Beliau berkata, MS Standard Grading Kenaf dihasilkan melalui kerjasama Lembaga Kenaf dan Tembakau Negara (LTKN), Jabatan Standard Malaysia dan Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

“Standard sebegini belum ada lagi di dunia dan ini adalah yang pertama di dunia.

“Mereka melaksanakan gerak kerja selama empat tahun untuk membangunkan MS Standard Grading Kenaf,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis penyerahan dokumen MS Standard Grading Kenaf di Ibu Pejabat LTKN di sini pada Ahad.

Hadir sama ialah Ketua Pengarah LKTN, Idris Mohd Salleh dan Ketua Pengarah Jabatan Standard Malaysia, Shaharul Sadei Alwi.

Zuraida berkata, pembangunan MS Standard Grading Kenaf diharap akan menjadi rujukan kepada negara lain seperti China dan India yang merupakan antara negara aktif dalam pengeluaran komoditi kenaf.

“Saya akan membawa standard ini untuk diperkenalkan ke negara lain agar mereka juga boleh menggunapakai dan menjadikannya sebagai rujukan bertaraf dunia,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Zuraida berkata, kenaf merupakan satu industri yang mempunyai potensi besar dalam menghasilkan produk bernilai tinggi seperti tilam, beg dan makanan kucing.

“Saya berpendapat fiber kenaf ini patut dijadikan 'flagship' kepada LTKN dan wajar membuat pelan pemasaran yang lebih lengkap, berkesan dan komprehensif dengan menjadikan bahan mentah itu sesuatu yang boleh digunakan untuk meningkatkan keluaran produk berasaskan kenaf,” ujarnya.

Sementara itu, beliau turut menggalakkan penanaman kenaf dalam kalangan rakyat kerana mudah dijaga dan dapat menjana keuntungan lumayan.

“Penanaman kenaf juga tidak remeh dan boleh menjana hasil sebanyak RM4,000 dalam tempoh empat bulan sehingga RM12,000 setahun.

“Sehingga kini, Malaysia mengeluarkan sebanyak 7,000 tan kenaf setahun melalui 1,000 pekebun kecil dan tiga pemain industri terbesar yang mengusahakan penanaman komoditi itu,” jelas beliau.