Sila log masuk terlebih dahulu.

UMNO Sabah tiada pilihan bertembung Bersatu pada PRU15

UMNO Sabah akur kepada keputusan tertinggi parti sekiranya terpaksa bertembung dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).- Foto Bernama
UMNO Sabah akur kepada keputusan tertinggi parti sekiranya terpaksa bertembung dengan calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).- Foto Bernama
A
A
A

KOTA KINABALU - [DIKEMAS KINI] UMNO Sabah akan mempertahankan semua kerusi dimenanginya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, meskipun terpaksa berdepan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada PRU15 akan datang selaras dengan keputusan pimpinan tertinggi UMNO Pusat.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, UMNO negeri tiada pilihan lain, selain menghormati keputusan pimpinan tertinggi parti untuk terus mempertahan kerusi dimenangi pada pilihan raya umum lalu.

“Di Sabah kita ada Gabungan Rakyat Sabah (GRS), bagaimanapun apabila parti membuat keputusan untuk kita bertanding (pada PRU15), maka UMNO tiada pilihan. UMNO kena mempertahan kerusi-kerusi ditandingi dan seterusnya memperkasa parti,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Pada Jumaat, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan mempertahan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) dimenanginya pada PRU14.

Menerusi hantaran di laman Facebook miliknya, Ahmad Zahid berkata, perkara itu diputuskan sebulat suara dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO pada 2020.

Pada Sabtu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kemungkinan pertembungan parti itu dengan UMNO dalam PRU15 merupakan antara realiti politik yang perlu diterima, dan Bersatu bersedia menghadapi sebarang kebarangkalian terjadi pada masa akan datang, dengan cara serta strategi tersendiri.

Bung Moktar yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah, menyambut baik kenyataan Muhyiddin itu berkata, UMNO Sabah juga bersedia untuk berdepan dengan mana-mana parti termasuk Bersatu, dalam pilihan raya umum tersebut.

“Kita (UMNO) telah mengharungi pelbagai dugaan besar. Kita pernah menang dan pernah kalah. Jadi ini bukan satu rintangan besar untuk kita berdepan dengan mana-mana parti dalam PRU akan datang,” katanya, sambil meminta jentera UMNO di semua peringkat bersedia menghadapi PRU15.

Artikel Berkaitan:

Pada PRU14 tahun 2018, UMNO memenangi tujuh kerusi Parlimen di Sabah iaitu Kudat, Beaufort, Sipitang, Beluran, Libaran, Kimanis, dan Kinabatangan.

Lima ahli Parlimen UMNO itu kemudian bertindak menyertai Bersatu iaitu Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (Beluran), Datuk Zakaria Mohd Edris (Libaran) dan Yamani Hafez Musa (Sipitang).

Ketika ini UMNO hanya menguasai dua daripada 25 kerusi Parlimen di negeri ini iaitu Kinabatangan yang diwakili Bung Moktar dan Kimanis yang disandang Datuk Mohamad Alamin juga Timbalan Menteri Pendidikan II. - Bernama