Ibu tunggal berharap keluar daripada kategori asnaf

Siti Aidah menggunting rambut seorang kanak-kanak sambil diperhatikan Zulkifli (depan, kanan) dan Mohd Suhaimi (kiri) di Seremban pada Ahad.
Siti Aidah menggunting rambut seorang kanak-kanak sambil diperhatikan Zulkifli (depan, kanan) dan Mohd Suhaimi (kiri) di Seremban pada Ahad.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang ibu tunggal di sini berharap agar suatu hari nanti dapat keluar daripada kategori asnaf, sekali gus membantu mereka yang kurang berkemampuan.

Siti Aidah Ahmad, 50, yang kematian suami tiga tahun lalu kini menampung hidup dengan menyediakan perkhidmatan gunting rambut dan rawatan kecantikan dari rumah ke rumah.

Dia bagaimanapun bersyukur apabila diberi peluang oleh Persatuan Cakna Rasa Sayang (PCRS) bagi menjalankan perkhidmatan itu di sebuah kabin yang disediakan di Taman Rasa Sayang di sini menerusi Program Digital Asnaf.

Menurutnya, peluang diberikan pihak PCRS itu dapat membantunya menjana pendapatan, sekali gus mempromosikan perkhidmatannya.

"Selepas kematian suami, hidup saya sangat susah bersama tiga anak termasuk seorang yang kurang upaya (OKU) terlantar berusia 14 tahun.

"Macam-macam kerja saya kena buat, bukan saja mengambil upah menggunting rambut dan menyolek pengantin, tapi mengemas rumah orang dan berniaga sambal ikan bilis," katanya ketika ditemui selepas majlis Pelancaran Digital Asnaf di Masjid Arraudah Kariah Taman Rasa Sayang di sini pada Sabtu.

Mohd Suhaimi menyerahkan bantuan kepada Siti Aidah sambil diperhatikan Zulkifli (kiri) ketika program di Seremban pada Ahad.
Mohd Suhaimi menyerahkan bantuan kepada Siti Aidah sambil diperhatikan Zulkifli (kiri) ketika program di Seremban pada Ahad.

Siti Aidah berkata, bukan mudah untuk dirinya meneruskan hidup pada ketika itu.

Artikel Berkaitan:

Sebab itu, katanya, menjadi niatnya untuk berkongsi rezeki dan keluar daripada asnaf jika ruangnya menjana pendapatan bertambah baik apabila terpilih dalam Program Digital Asnaf.

"Saya selalu beritahu anak-anak, kita selalu menerima bantuan tetapi jika kita dapat memberi pula itu lebih baik.

"Saya akan berusaha lebih kuat lagi untuk merealisasikan hasrat untuk keluar dari asnaf dan berkongsi rezeki dengan golongan asnaf pula selepas ini," katanya.

Siti Aidah sebelum itu menerima sumbangan dari Baitulmal yang disampaikan Pegawai Agihan Zakat Baitulmal Senawang, Mohd Suhaimi Mohd Aziz.

Sementara itu, Penaung PCRS, Zulkifli Muhamed berkata, matlamat penganjuran program itu bagi membantu golongan asnaf keluar daripada kemiskinan.

Beliau berkata, pihaknya akan membantu mempromosikan perniagaan atau perkhidmatan disediakan mereka menerusi platform media sosial.

"Selain itu kita cuba membantu mereka menjana pendapatan dan juga menjadi pemudah cara buat mereka yang mungkin kekurangan maklumat.

"Sebagai contoh, terdapat golongan ini yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan tetapi tidak tahu bagaimana untuk mengembangkannya," jelas beliau.