Lelaki terlibat kes samun teksi, e-hailing ditahan

Antara barang yang dirampas daripada suspek pada serbuan di Plaza Pandan Malim, Melaka pada Sabtu.
Antara barang yang dirampas daripada suspek pada serbuan di Plaza Pandan Malim, Melaka pada Sabtu.
A
A
A

REMBAU - Polis menahan seorang lelaki dipercayai terlibat dengan aktiviti samun terhadap pemandu teksi dan e-hailing.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Hazri Mohamad berkata, suspek warga tempatan itu ditahan pada Sabtu sekitar jam 11.15 pagi di Plaza Pandan Malim, Melaka.

Katanya, tangkapan dilakukan oleh pasukan Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Sembilan dan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Daerah (IPD) Rembau, hasil maklumat orang awam.

Hazri Mohamad
Hazri Mohamad

"Semasa tangkapan dijalankan, polis turut membuat rampasan antaranya sebuah beg warna hitam, tiga helai seluar jeans, tiga helai baju berkolar, sekeping surat pajak gadai dan sebuah telefon bimbit.

"Tangkapan dan rampasan telah dibawa ke lPD Rembau untuk siasatan lanjut dan permohonan reman," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Hazri berkata, pihak polis percaya dengan tertangkapnya suspek, ia dapat menyelesaikan beberapa kes samun terhadap pemandu teksi dan e-hailing yang berlaku di daerah Rembau, Negeri Sembilan dan Johor.

Tambahnya, polis berterima kasih kepada orang awam yang sentiasa membantu dalam menyalurkan maklumat. Mereka yang ingin salurkan maklumat boleh menghubungi terus di Pusat Kawalan IPD Rembau ditalian 06-6851999.

Artikel Berkaitan: