Bot karam, 10 pemancing dikhuatiri hilang

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa telah dilaktifkan pada 12 tengah hari tadi setelah pihaknya menerima laporan menerusi panggilan MERS 999 daripada seorang pengadu. - Foto ihsan JBPM Sarawak
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa telah dilaktifkan pada 12 tengah hari tadi setelah pihaknya menerima laporan menerusi panggilan MERS 999 daripada seorang pengadu. - Foto ihsan JBPM Sarawak
A
A
A

KUCHING - [DIKEMAS KINI] Seramai 10 pemancing dikhuatiri lemas selepas bot yang dinaik mereka dilaporkan karam pada kedudukan kira-kira 2 batu nautika dari perairan Pulau Satang di sini, tengah hari tadi (Sabtu).

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) kesemua mangsa telah dilaktifkan pada 12 tengah hari tadi setelah pihaknya menerima laporan menerusi panggilan MERS 999 daripada seorang pengadu.

“Bot Penyelamat 8 yang sedang beroperasi di sekitar perairan Santubong telah digerakkan ke lokasi kejadian dan Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) juga telah ditubuhkan di Jeti Awam Telaga Air.

“Keadaan laut dan cuaca di lokasi kejadian hari ini sedikit bergelora dengan kelajuan angin 20 hingga 30 kilometer sejam dan ketinggian ombak 1.5 hingga 2.0 meter. Pencarian juga meliputi kawasan 2 batu nautika sehingga 20 batu nautika dari perairan Pulau Satang,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, SAR ditangguhkan pada 6.30 petang tadi setelah tiada sebarang petunjuk ditemui dan akan bersambung 7 pagi esok.

Zin Azman turut menasihati komuniti maritim agar membatalkan niat untuk ke laut sekiranya cuaca buruk.

“Sekiranya keadaan mendesak untuk ke laut, utamakan keselamatan dengan sentiasa memakai jaket keselamatan memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini kurang baik terutamanya musim Monsun Timur Laut yang dijangka bermula dari Oktober 2021 hingga Mac 2022,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: