'Tiada kaitan isu perkauman'

Dr Hang Soon (kiri) ketika bertemu Chee Fong (dua dari kanan) di kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu.
Dr Hang Soon (kiri) ketika bertemu Chee Fong (dua dari kanan) di kediamannya di Cheras, Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Menteri Pendidikan I, Datuk Dr Mah Hang Soon memuji permohonan maaf yang dibuat pihak pengurusan Tokong Wong Low Shen See Chee How di Cheras susulan salah faham sehingga menyebabkan insiden rusuhan di luar rumah ibadat itu pada 28 September lalu.

Beliau berkata, rusuhan itu juga tiada kaitan dengan isu keagamaan dan perkauman sebaliknya ia menjurus kepada isu pembinaan sekolah di kawasan belakang tokong berkenaan.

“Dalam satu perbincangan antara pihak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Pejabat Tanah, pihak berkuasa tempatan dan pihak-pihak berkenaan, telah menjelaskan perancangan pembinaan sebuah sekolah menengah baharu di atas tanah rizab sekolah yang terletak di belakang tokong untuk menampung keperluan penduduk tempatan susulan pembinaan 7,000 unit perumahan rakyat (PPR).

“Perancangan tersebut telah bermula sejak tahun 2017. Pihak KPM telah menjalankan tinjauan dan kajian untuk mengenal pasti tanah rizab pendidikan di lokasi lain yang berdekatan bagi projek pembinaan sekolah menengah baharu tersebut.

“Namun, setelah penelitian holistik, tanah rizab sekolah tersebut adalah satu-satunya lokasi yang paling strategik untuk projek pembinaan sekolah menengah baharu tersebut,” katanya selepas mengadakan pertemuan dengan Pengerusi Tokong tersebut, Yap Chee Fong pada Sabtu.

Sebelum ini, tercetus huru-hara di luar sebuah tokong di Cheras apabila sekumpulan penganut membawa kayu dan besi menyerang anggota polis serta merosakkan jentolak kerana beranggapan pihak berkuasa mahu merobohkan rumah ibadat itu.

Kejadian itu juga berlaku sewaktu Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTG) hadir untuk membina pagar penghadang ‘hoarding’ bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sekolah.

Susulan rusuhan itu, Dr Hang Soon berkata, pelbagai spekulasi timbul yang jelas terpesong daripada fakta sebenar.

Artikel Berkaitan:

Justeru, katanya, berdasarkan keterangan daripada pengerusi tokong tersebut, beliau meminta semua pihak meneliti insiden itu secara menyeluruh dan rasional demi kesejahteraan bersama.

“Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak tokong yang berjanji akan menyerahkan kunci pagar bagi memudahkan kerja-kerja selanjutnya,” ujar Dr Hang Soon.

ARTIKEL BERKAITAN: Rusuhan: Empat ditahan bantu siasatan, halang pembinaan jalan