X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Rusuhan: Empat ditahan bantu siasatan, halang pembinaan jalan

Seramai empat lelaki ditahan bagi bantu siasatan berhubung insiden halang dan menyerang anggota polis kerana membantah pembinaan pagar penghadang bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sebuah sekolah berhampiran sebuah tokong di Salak Selatan di sini pada Selasa.
A
A

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Seramai empat lelaki ditahan bagi membantu siasatan berhubung insiden 30 individu menghalang dan menyerang anggota polis kerana membantah pembinaan pagar penghadang bagi membina jalan untuk dijadikan laluan ke sebuah sekolah berhampiran sebuah tokong di Salak Selatan di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Muhammad Idzam Jaafar berkata, kesemua individu berusia 19 tahun hingga 50 tahun itu ditahan bagi membantu siasatan.

"Kes di siasat dibawah Seksyen 148 dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Muhammad Idzam berkata, dalam kejadian pada jam 11.45 pagi hingga jam 4 petang itu, satu operasi telah dijalankan oleh pihak Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur untuk membina pagar penghadang ‘hoarding' tersebut.

"Kita telah hadir bagi memastikan keselamatan dan kelancaran operasi yang dijalankan," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kes amuk: Polis akan keluarkan kenyataan media

Beliau berkata, semasa operasi sedang dijalankan terdapat kira-kira 30 orang lelaki dan perempuan membawa kayu dan besi bertindak menghalang serta memecahkan cermin jentolak selain menyerang anggota polis yang bertugas di tempat kejadian.

"Punca kejadian disyaki kumpulan itu tidak puas hati kerana kerajaan mahu membina jalan dan ambil semula tanah milik kerajaan sekali gus menjadikan kawasan tokong berkenaan sempit," katanya.

Muhammad Idzam berkata, pihaknya menafikan terdapat tindakan untuk merobohkan mana-mana tokong dalam kejadian tersebut.

"Satu video berkaitan isu ini telah dimuat naik di laman Facebook bagi tujuan meraih simpati dan dieksploitasi.

"Sehubungan itu, kita menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi, andaian atau pendapat yang boleh menimbulkan kekeliruan, kegusaran dan menggugat ketenteraman awam," katanya.

Muhammad Idzam memaklumkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan diminta untuk menghubungi Pegawai Penyiasat Kanan, Asisten Superintendan Mohamad Sukri Ishak di talian 013-2165881 atau mana-mana balai polis yang berdekatan bagi membantu siasatan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!