Vaksinasi: Orang Diparol diberi layanan sama rata

Mohd Azizul (tengah, barisan depan) bersama sebahagian ODP selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Dewan Chendrawasih, Pendang.
Mohd Azizul (tengah, barisan depan) bersama sebahagian ODP selepas menerima suntikan vaksin Covid-19 di PPV Dewan Chendrawasih, Pendang.
A
A
A

PENDANG - Program pemberian vaksinasi tidak meminggirkan mana-mana kelompok minioriti termasuk Orang Diparol (ODP) dalam memastikan setiap individu yang layak menerima suntikan vaksin diberikan hak sama rata.

Pegawai Parol Daerah Pendang, Ketua Inspektor Penjara, Mohd Azizul Yop Ahmad berkata, seramai 44 ODP telah menerima suntikan lengkap vaksin Covid-19 manakala 12 ODP sudah diberikan dos pertama, menerusi program vaksinasi ODP bawah seliaan Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Pendang.

Menurutnya, program berkenaan merupakan kali kedua diadakan di pusat pemberian vaksin (PPV) Dewan Chendrawasih, di Pendang.

“Pejabat Parol dan Perkhidmatan Komuniti Daerah Pendang di bawah Jabatan Penjara Malaysia dengan kerjasama PPV daerah Pendang telah mengadakan program vaksinasi terhadap ODP pada Sabtu lalu dan mendapat sambutan yang baik daripada peserta,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Mohd Azizul memberitahu, pemberian vaksin perlu dilaksanakan ke atas ODP sebagai menyahut seruan kerajaan untuk mencapai imuniti kelompok selain menjadi keperluan susulan mereka turut bekerja di sektor swasta.

“Kumpulan ini melibatkan ODP yang bekerja di Ladang Bukit Perak Utara dan Selatan, Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan (Felcra) Kubang Kenyeng; Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) Semaian Bukit Perak serta Tradewind Plantation Sdn Bhd,” katanya.

Menurut beliau, golongan ini juga perlu divaksin memandangkan ODP merupakan individu yang menjalani perintah parol dan dikelilingi masyarakat ketika menjalankan kegiatan harian mahupun ketika bekerja di sektor perladangan.

“Dengan pemberian vaksin kepada ODP, ia dapat mengurangkan risiko dijangkiti Covid-19 yang boleh membahayakan nyawa orang ramai.

Artikel Berkaitan:

Setakat ini, pemberian vaksin kepada ODP di daerah ini hanya ditetapkan di PPV Dewan Chendrawasih,” ujarnya.