Kereta terjunam, tembok penahan runtuh

Tembok penahan dan jalan yang runtuh dalam kejadian di Lengkok Halia, Georgetown pada Jumaat.
Tembok penahan dan jalan yang runtuh dalam kejadian di Lengkok Halia, Georgetown pada Jumaat.
A
A
A

GEORGETOWN - Sebahagian tembok penahan dan jalan di Lengkok Halia, di sini runtuh dalam kejadian jam 9.30 pagi Jumaat.

Kejadian tersebut turut melibatkan sebuah kereta Proton Saga yang diletakkan berdekatan lokasi kejadian.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang berkata, terdapat rekahan pada dinding penahan berkenaan pada Khamis dan pihaknya telah mengarahkan semua pemilik untuk mengalihkan kenderaan masing-masing.

Bagaimanapun katanya, pemeriksaan pada pagi Jumaat mendapati masih ada enam buah kenderaan yang belum dialihkan berdekatan lokasi kejadian.

"Pada pagi ini (Jumaat) kita sempat mengarahkan lima pemilik kenderaan untuk mengalihkan kereta mereka dan sebuah lagi iaitu Proton Saga, tidak sempat dialihkan.

"Malangnya, kereta itu terjunam bersama tembok penahan dan jalan," katanya ketika dihubungi pada Jumaat.

Katanya lagi, tiada kemalangan jiwa dilaporkan kerana tiada pemandu atau penumpang di dalam kereta tersebut.

Sebelum ini, tular rakaman video berdurasi 13 saat di media sosial menunjukkan sebuah kereta yang diparkir di tepi jalan terjunam selepas tembok penahan dan jalan di lokasi kejadian runtuh.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Tung Seang berkata, pihaknya sedang menunggu laporan dari Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Jabatan Kerja Raya (JKR) berhubung kejadian itu untuk tindakan lanjut.

"Kita akan tunggu laporan siasatan untuk mengetahui punca sebenar kejadian.

"Oleh kerana ia merupakan tanah rizab JPS, maka pihak JPS akan bertanggungjawab untuk memperbaikinya," katanya.