Syarat vaksinasi lengkap bagi setiap kemudahan kekal

Seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria yang ditetapkan. Gambar hiasan
Seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria yang ditetapkan. Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - Syarat vaksinasi lengkap dalam setiap kemudahan yang diumumkan kerajaan sebelum ini kekal bagi semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, keputusan itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat.

"Bagi individu yang tidak boleh divaksin atas sebab kesihatan, mereka perlu mengemukakan maklumat kesihatan yang telah disahkan oleh pegawai perubatan," katanya.

Menurutnya, langkah itu dibuat mengambil kira keselamatan nyawa rakyat, mengukuhkan sistem kesihatan awam negara, melancarkan pembukaan semula ekonomi dan memastikan usaha kerajaan untuk memulakan proses peralihan ke fasa endemik dilakukan dengan selamat.

"Kita tidak selamat sehingga semua selamat," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, seseorang individu hanya akan diiktiraf sebagai individu yang telah lengkap vaksinasinya apabila telah memenuhi kriteria yang ditetapkan.

"Bagi jenis vaksin yang memerlukan dua dos suntikan iaitu Pfizer, AstraZeneca, dan Sinovac, individu berkenaan mestilah telah melepasi hari ke-14 dari tarikh suntikan dos kedua dan melepasi hari ke-28 dari tarikh suntikan bagi vaksin satu dos (Johnson & Johnson dan CanSino).

Khairy berkata, kejayaan membawa negara keluar daripada pandemik tidak hanya bergantung kepada usaha dan strategi kerajaan tetapi juga tahap pematuhan masyarakat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya masyarakat mengambil mudah kelonggaran yang diberikan, tidak mustahil situasi jangkitan kembali menjadi teruk," katanya.

Ujarnya, atas sebab itulah tumpuan juga mesti diberikan untuk mendidik masyarakat supaya mereka faham peranan dalam usaha membawa negara keluar daripada pandemik ini.

"Anda kini adalah barisan hadapan untuk melindungi keluarga dan komuniti daripada jangkitan virus Covid-19," katanya.

Tegasnya, tindakan kesihatan awam kendiri perlu diperkukuhkan dalam setiap individu.

'Apabila mengalami gejala Covid-19, walaupun ringan, pastikan anda menjalani ujian pengesanan.

"Sekiranya disahkan positif, lakukan tindakan yang bertanggungjawab dengan mengasingkan diri," katanya.