Vaksin penjawat awam: Ambil pendekatan toleransi dalam tindakan

vaksin
vaksin
A
A
A

KUCHING - Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Sarawak berharap sebarang tindakan terhadap pegawai perkhidmatan awam yang belum mendaftar atau mengambil vaksin Covid-19 harus dilakukan dengan pertimbangan wajar dan toleransi.

Pengerusinya, Omar Bahrein Unin berkata, ini termasuk mengenal pasti masalah sebenar faktor penjawat awam tidak mahu menerima vaksin.

“Penjawat awam memang tertakluk pada peraturan perkhidmatan awam namun kami berharap tindakan tatatertib ini tidaklah sehingga dikenakan tindakan buang kerja atau hukuman berat.

“Ini kerana isu (vaksin) ini merupakan perkara baharu dalam perkhidmatan awam dan bukan kesalahan melibatkan jenayah,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Jumaat.

Pada Khamis, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memaklumkan semua pegawai perkhidmatan awam Persekutuan diwajibkan mengambil vaksin Covid-19.

JPA dilaporkan berkata, ia bagi memberi keyakinan dan jaminan kepada orang awam untuk memastikan kelancaran penyampaian perkhidmatan awam kepada rakyat serta selari dengan usaha untuk mengembalikan perkhidmatan kerajaan pada tahap pengoperasian penuh berdasarkan fasa-fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menurut JPA, peratusan pegawai awam Persekutuan yang mengambil vaksin telah mencapai hampir 98 peratus, manakala kelompok yang masih belum mendaftar untuk divaksin adalah kecil iaitu hanya 1.6 peratus melibatkan 16,902 orang. - Bernama

Artikel Berkaitan: