Kelantan guna pakai SOP seorang malim untuk tujuh pendaki

Malim gunung di negeri ini dibenarkan membawa maksimum tujuh pendaki untuk setiap pendakian selepas Kelantan memasuki Fasa 3 PPN kelak. - Gambar hiasan
Malim gunung di negeri ini dibenarkan membawa maksimum tujuh pendaki untuk setiap pendakian selepas Kelantan memasuki Fasa 3 PPN kelak. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA KRAI - Malim gunung di negeri ini dibenarkan membawa maksimum tujuh pendaki untuk setiap pendakian selepas Kelantan memasuki Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) kelak.

Penolong Pengarah (Ekopark dan Hutan Taman Negeri) Kelantan, Juliana Yahya berkata, perkara tersebut sebagaimana diguna pakai oleh negeri-negeri lain yang sudah memasuki Fasa 3 PPN.

"Prosedur operasi standard (SOP) ataupun penetapan nisbah malim dan pendaki ini akan dibawa kepada Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar. Apabila pihak kementerian setuju barulah mereka bawa kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Macam sekarang ini kerajaan sudah tetapkan seorang malim dibenarkan membawa tujuh pendaki.

"Ia adalah untuk memberi keselesaan dan tidak mahu mewujudkan apa-apa risiko kepada malim dan pendaki," katanya kepada pemberita di sini pada Jumaat.

Juliana sebelum itu membuat pemantauan melibatkan beberapa kawasan tumpuan pendaki di sekitar Kuala Krai di sini.

Menurutnya, sebelum pandemik Covid-19 melanda, seorang malim dibenarkan membawa 10 hingga 15 orang pendaki berdasarkan cabaran gunung yang hendak didaki.

Bagaimanapun, angka yang paling efektif adalah satu nisbah 10 terutamanya melibatkan pelancong yang masih baharu berjinak dengan dunia pendakian.

Artikel Berkaitan:

"Buat masa ini Kelantan perlu tunggu masuk Fasa 3 PPN dahulu, barulah kita fikir langkah seterusnya.

"SOP eko-pelancongan dalam hutan simpan kekal pun sudah diluluskan untuk fasa tiga.

"Semuanya boleh kembali beroperasi bila sudah melangkah ke fasa berkenaan," katanya.