Penduduk ingkar SOP punca kluster baharu

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA KINABALU - [KEMASKINI] Kewujudan dua kluster baharu iaitu Kluster Long Pasia di Sipitang dan Kluster Mokodou di Ranau menunjukkan masih ada penduduk ingkar dalam mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta nasihat daripada pihak berkuasa dalam mengekang Covid-19.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, Kluster Long Pasia yang direkodkan hari ini tercetus daripada sambutan majlis hari jadi dihadiri penduduk kampung manakala Kluster Mokodou direkod pada Rabu tercetus daripada upacara pengebumian dan menghormati kematian.

"Ini agak mengecewakan dalam usaha kita memerangi pandemik, kedua-dua kluster ini jelas menunjukkan masih ada penduduk kita yang tidak mematuhi SOP dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan secara serius.

"Kelalaian dan sikap acuh tidak acuh telah mengakibatkan jangkitan Covid-19 yang melibatkan ramai penduduk. Kluster Long Pasia melibatkan penularan 25 kes jangkitan manakala sebanyak 94 kes jangkitan dikesan dalam Kluster Mokodou," katanya dalam kenyataan.

Sehubungan itu, Masidi yang juga jurucakap Covid-19 Sabah berharap pegawai daerah, ketua masyarakat khususnya di peringkat akar umbi serta pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung memantau acara sosial di kampung bagi memastikan pematuhan ketat terhadap semua SOP.

“Kerjasama rakyat amat penting bagi membolehkan kita memenangi perang melawan pandemik Covid-19,” katanya.

Sementara itu, 993 kes Covid-19 direkodkan hari ini dan daripada jumlah itu 487 kes atau 49 peratus dikesan melalui saringan kontak rapat sekali gus kes daripada saringan kontak rapat tinggi itu menunjukkan terdapat ketidakpatuhan SOP dalam kalangan penduduk.

Sementara itu, Masidi dalam kenyataan berasingan berkata, kebenaran rentas daerah mengikut zon yang berkuat kuasa esok akan dibahagikan kepada lima bahagian.

Artikel Berkaitan:

Ia merangkumi zon satu bagi daerah Kota Kinabalu, Penampang, Putatan, Tuaran, Ranau dan Kota Belud, zon dua (Beaufort, Sipitang dan Kuala Penyu), zon tiga (Kudat, Kota Marudu, Pitas dan Beluran), zon empat (Lahad Datu dan Kunak) manakala zon lima (Keningau, Tambunan dan Tenom).

Beliau berkata, bagi sembilan daerah iaitu Kinabatangan, Telupid, Tongod, Sandakan, Kalabakan, Tawau, Papar, Semporna dan Nabawan, kebenaran rentas daerah masih tidak dibenarkan dan kekal dengan status ‘stand alone district'.

“Ini memandangkan kesemua sembilan daerah terbabit masih belum mencapai kadar 60 peratus vaksinasi lengkap bagi populasi dewasa,” katanya.

Pada Selasa, kerajaan Sabah bersetuju untuk membenarkan rentas daerah mengikut zon mulai 1 Okt sebagai peralihan berkala dan kebenaran itu tertakluk kepada syarat iaitu kadar vaksinasi lengkap bagi penduduk dewasa Sabah mencapai 60 peratus dan daerah dalam setiap zon juga mencapai nilai ambang tersebut. - Bernama