Semua Sekolah Menengah Agama Negeri di Pahang buka 11 Oktober

Syed Ibrahim
Syed Ibrahim
A
A
A

KUANTAN - Semua 18 Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di Pahang dibuka secara bersemuka pada 11 Oktober ini mengikut prosedur operasi standard (SOP) di bawah Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, tiada sebarang penggiliran pelajar di SMAN seperti dicadangkan oleh Bahagian Pendidikan Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP).

Menurutnya, kelas sedia ada boleh digunakan untuk semua pelajar memandangkan pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga masih belum dibenarkan ke sekolah.

"Pada asasnya, kehadiran pelajar ke sekolah adalah secara penggiliran, namun disebabkan pelajar Tingkatan Satu, Dua dan Tiga hanya mengikuti pembelajaran secara pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), jadi banyak ruang kelas boleh digunakan pelajar.

“Pendekatan ini diambil selaras penetapan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi negeri-negeri yang beralih ke Fasa Tiga PPN sebagaimana ditetapkan dalam SOP Fasa Tga bagi sekolah harian dan swasta membabitkan pelajar yang akan mengambil peperiksaan bersijil.

“Ia membabitkan seramai 1,697 pelajar yang akan mengambil Sijil Menengah Agama (SMA); Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) seramai 1,373 orang; Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) seramai 473 orang dan secara keseluruhannya berjumlah 3,549 orang,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata, setakat ini, seramai 3,141 Pelajar Tingkatan Empat, Lima dan Enam di SMAN sudah menerima suntikan vaksin melalui Pejabat Kesihatan Daerah masing-masing.

Tambah beliau, pelajar yang masih belum menerima suntikan vaksinasi boleh hadir ke sekolah namun dinasihatkan supaya mengambil vaksin bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19.

Artikel Berkaitan:

“Kalau ikutkan masih berbaki 312 pelajar SMAN belum divaksin... Guru yang belum menerima vaksin lengkap atau belum divaksin perlu hadir ke sekolah tetapi tidak dibenarkan melaksanakan PdP secara bersemuka.

"Jadi, mereka (guru) ini perlu ditempatkan dalam bilik berasingan dan mesti sentiasa memakai pelitup muka berganda serta pelindung muka dengan mematuhi SOP khusus disediakan," katanya.

Syed Ibrahim berkata, pelajar wajib memakai pelitup muka sepanjang tempoh mereka berada dalam kawasan sekolah dan pemakaian pelitup muka berganda digalakkan.