KPDNHEP rampas barang tiruan

FB: Tujuh gerai dikesan menjual pelbagai pakaian tiruan termasuk telekung berjenama

A
A
A

PARIT BUNTAR - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Perak merampas 955 barang tiruan berjenama bernilai RM27,485 dalam serbuan di sebuah pusat jualan pakaian terbesar di sini, Sabtu lalu.

Timbalan Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNHEP Perak, Ahmad Ahrazzuddin Ahmad Hamdan berkata, risikan selama seminggu itu membuahkan hasil apabila tujuh gerai telah dikesan menjual pelbagai pakaian tiruan termasuk telekung berjenama.

Menurutnya, pegawai penguatkuasa yang berpakaian preman berjaya menghalang peniaga-peniaga yang cuba melarikan barangan disyaki tiruan dalam serbuan yang dijalankan sekitar jam 6.30 pagi itu.

"Siasatan awal mendapati lima pemilik berstatus penduduk tetap manakala dua yang lain adalah warga tempatan yang telah beroperasi 10 tahun.

"Kita telah sita, 558 helai telekung, 45 beg telekung dan 12 katalog telekung jenama Siti Khadijah, turut disita, 26 baju dan 69 seluar Gucci, 129 helai seluar Levi's dan 116 seluar Puma untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan di sini.

Ahmad Ahrazzuddin berkata, siasatan mendapati premis berkenaan merupakan pembekal utama bagi peniaga pasar malam dan ekspo sekitar Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011 yang memperuntukkan denda RM15,000 bagi setiap barang yang diletakkan perihal dagangan palsu, jika sabit kesalahan. Kesalahan itu tertakluk jika orang itu merupakan suatu pertubuhan perbadanan.

"Jika orang itu bukan suatu pertubuhan perbadanan, didenda RM10,000 bagi setiap barang, atau penjara 3 tahun atau kedua-duanya, bagi kesalahan pertama," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, sepanjang tempoh bermula Januari lalu, KPDNHEP telah menghasilkan lapan kes dengan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM83,057.