Remaja 16, 17 tahun boleh 'walk-in' di semua PPV Pulau Pinang

Chow Kon Yeow
Chow Kon Yeow
A
A
A

GEORGETOWN - Remaja berusia 16 dan 17 tahun termasuk pelajar dibenarkan untuk 'walk-in' di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di negeri ini bagi mendapatkan suntikan vaksin bermula Khamis.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, sesi walk-in harian bermula pada 2 petang di setiap PPV.

Menurutnya, bagaimanapun bagi pelajar berusia 12 hingga 15 tahun perlu mengikuti janji temu menerusi aplikasi MySejahtera dan dinasihatkan untuk tidak 'walk-in' ke mana-mana PPV bagi mengelakkan kesesakan.

"Berdasarkan data Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP), sehingga 29 September (Rabu), daripada 37,875 jumlah remaja berusia 16 hingga 17 tahun yang didaftar melalui portal Vaksin Anakku, seramai 32,876 orang atau 86.8 peratus telah menerima suntikan vaksin.

"Sementara itu, bagi remaja berusia 12 hingga 15 tahun, daripada jumlah keseluruhan 80,698 orang yang berdaftar menerusi portal sama, seramai 8,312 atau 10.3 peratus telah disuntik," katanya menerusi kenyataan akhbar pada Khamis.

Katanya lagi, untuk mempercepatkan kadar vaksinasi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja) peringkat Pulau Pinang, pengoperasian dua PPV iaitu Pusat Konvensyen SPICE (SPICE CC) dan PPV SP Arena telah dilanjutkan kepada jam 9 malam.

Tambahnya lagi, kerajaan negeri juga dalam perancangan untuk menambah PPV 'outreach' ke sekolah-sekolah atau kawasan-kawasan luar bandar di seluruh Pulau Pinang.

Pada 22 September lalu, Pulau Pinang akan memulakan PICK-Remaja yang mana ia membabitkan pelajar asrama berusia 16 hingga 17 tahun yang beralamat tetap di Pulau Pinang tetapi mengikuti pengajian di Sekolah Berasrama Penuh di luar negeri ini.

Artikel Berkaitan:

Enam PPV akan memulakan proses imunisasi kepada remaja tanpa komorbid iaitu Pusat Konvensyen SPICE, Tapak Ekspo Seberang Jaya, Vangoh Eminent Hotel, Dewan Perda Convention Centre, Dewan Millenium dan Dewan Serba Guna Sungai Bakap.