Johan Jaaffar ketuai Cabaran Everest Base Camp 2026

SHAH ALAM - Tokoh Wartawan Negara, Tan Sri Johan Jaaffar mengetuai Cabaran Everest Base Camp (EBC) 2026 bagi menempuh ekspedisi 'trekking' ke kaki Gunung Everest pada ketinggian 5,364 meter dari aras laut.
Johan bersama peserta lain tiba di Kathmandu, Nepal sebagai persiapan sebelum memulakan perjalanan menuju ke Everest Base Camp (EBC) dan dijangka sampai pada 26 September ini.
Seramai 11 peserta menyertai cabaran berkenaan termasuk Malim Gunung Ledang, Mohd Firdaus Muhammad dan pendaki muda negara, Muhammad Syahrulnizam Mohd Noor.
Perserta yang turut menyertai ekspedisi itu ialah Addanan Abdul Ghani, Husain Ahmad, Zamira Mat Akhir, Mohamad Razis Isman, Haida Azreena Hannie dan Haida Izzaty Izzyan.
Cabaran berkenaan dikendalikan pendaki solo, Mohd Noor Mat Amin bersama Drupati Pun yang akan mengiringi peserta sepanjang perjalanan menuju ke EBC.
Peserta dijadualkan menaiki penerbangan dari Kathmandu ke Lukla pada pagi Sabtu sebelum meneruskan perjalanan 'trekking' selama kira-kira lima jam ke Phakding.
Dari Phakding, perjalanan akan diteruskan secara berperingkat melalui laluan perkampungan Himalaya sebelum kumpulan berkenaan menuju ke EBC.
Perjalanan itu bakal membawa peserta merentasi antara laluan 'trekking' paling ikonik di dunia selain berdepan cabaran perubahan altitud sepanjang ekspedisi.
Cabaran EBC 2026 bukan sekadar menawarkan pengalaman menikmati keindahan panorama Himalaya, malah menjadi medan menguji ketahanan fizikal, mental dan semangat setiap peserta.
EBC menjadi antara destinasi 'trekking' terkenal dunia dan pintu masuk utama bagi ekspedisi pendakian Gunung Everest.
Sebelum ini, kerajaan Selangor dilaporkan menyalurkan sumbangan khas berjumlah RM38,000 bagi membantu menjayakan misi Cabaran EBC 2026.
Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, sumbangan itu sebagai tanda sokongan dan motivasi kepada Muhammad Syahrulnizam bersama pasukannya menyahut cabaran pendakian berkenaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
