Maqis rampas 1,800kg makanan haiwan tanpa permit

Penguat Kuasa Maqis Pulau Pinang sedang memeriksa makanan haiwan yang dirampas pada Rabu.
Penguat Kuasa Maqis Pulau Pinang sedang memeriksa makanan haiwan yang dirampas pada Rabu.
A
A
A

BUTTERWORTH - Sebanyak 1,800 beg mengandungi 1,800 kilogram (kg) makanan haiwan dari Itali dirampas oleh Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Pulau Pinang pada Rabu.

Pengarahnya, Muhammad Ikram Abd Talib berkata, kesemua makanan haiwan itu dirampas ketika dibawa masuk ke negara ini di Pelabuhan Dermaga Air Dalam (DAD) di sini pada jam 5.40 petang.

Katanya, pemeriksaan rutin yang dilakukan oleh Pegawai Penguat Kuasa Maqis di tapak pemeriksaan Gudang Zon Bebas DAD mendapati, keseluruhan makanan haiwan tersebut tidak mempunyai Permit Import Maqis yang sah.

"Hasil pemeriksaan lanjut, didapati sebanyak 1,800 beg yang mana setiap satunya seberat 1kg. Jumlah berat keseluruhan makanan haiwan tersebut iaitu 1,800kg itu didapati berada di dalam kontena tersebut. Nilai keseluruhan makanan haiwan itu pula adalah RM10,557.

Sebanyak 1,800 kg makanan haiwan tanpa permit dari Itali dirampas Maqis Pulau Pinang pada petang Rabu.
Sebanyak 1,800 kg makanan haiwan tanpa permit dari Itali dirampas Maqis Pulau Pinang pada petang Rabu.

"Kesemua makanan haiwan itu didapati tidak mempunyai Permit Import Maqis yang sah dan kita merampasnya untuk siasatan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Tambahnya lagi, pengimport makanan haiwan tersebut didapati melakukan kesalahan mengikut Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta728) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3), akta sama.

Artikel Berkaitan:

"Jika sabit kesalahan, pengimport boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya sekali.

"Maqis sentiasa melakukan pemeriksaan keluaran pertanian di setiap pintu masuk negara bagi memastikan tumbuhan, haiwan, karkas, ikan, keluaran pertanian dan mikroorganisma yang diimport ke negara ini bebas ancaman perosak, penyakit dan bahan cemar, serta mematuhi syarat dan peraturan yang ditetapkan kerajaan," katanya.