Siasatan kes Guan Eng langgar perintah kuarantin selesai

Guan Eng
Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - Siasatan ke atas bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berhubung dakwaan melanggar perintah kuarantin kendiri pada awal bulan lalu telah selesai.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kertas siasatan berhubung kes itu juga telah dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Pulau Pinang untuk arahan lanjut.

Menurutnya, sehingga kini kertas siasatan masih belum mendapat sebarang arahan dari Pejabat Pendakwaan Negeri Pulau Pinang.

"Siasatan telah selesai dan kertas siasatan sudahpun dirujuk ke Pejabat Pendakwaan Negeri Pulau Pinang.

"Guan Eng telah dipanggil untuk diambil keterangan sebelum ini dan beliau tidak lagi dipanggil selepas ini," katanya ketika dihubungi pada Khamis.

Mohd Shuhaily berkata, tiada lagi saksi dipanggil untuk diambil keterangan selepas 11 saksi telah dipanggil sebelum ini.

Sebelum ini, polis telah merekod keterangan Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP pada 11 September berhubung dakwaan melanggar perintah kuarantin kendiri.

Polis juga turut memanggil 11 saksi termasuk enam individu yang membuat laporan, seorang pegawai kesihatan daerah Timur Laut, Setiausaha Dewan Undangan Negeri, Mohd Roshidi Azmi dan pegawai kesihatan daerah Seberang Perai Utara.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, polis mengesahkan telah membuka kertas siasatan terhadap Guan Eng selepas polis menerima beberapa laporan yang dibuat terhadapnya.

Guan Eng turut menyangkal dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri yang bermula 1 hingga 10 September.

Guan Eng berkata, beliau hanya diberitahu pada 2 September berhubung perkara itu setelah menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menafikan bahawa beliau telah keluar secara terbuka untuk mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi di kawasannya pada 2, 4 dan 8 September.

Jelasnya lagi, beliau hanya berada di rumah untuk kuarantin kendiri setelah menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang pada 2 September dan kemudiannya diuji negatif.

Pada 8 September lalu, Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.

Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September lalu.

ARTIKEL BERKAITAN:Guan Eng sangkal dakwaan langgar kuarantin kendiri