Guan Eng sangkal dakwaan langgar kuarantin kendiri

Lim Guan Eng
Lim Guan Eng
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyangkal dakwaan bahawa beliau telah melanggar syarat kuarantin kendiri yang bermula 1 hingga 10 September.

Guan Eng berkata, beliau hanya diberitahu pada 2 September berhubung perkara itu setelah menghadiri Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, di sini.

"Saya dituduh melanggar syarat kuarantin di rumah dari 1 hingga 10 September apabila saya menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang pada 2 September.

"Sebenarnya, saya hanya diberitahu pada 2 September bahawa saya mungkin berhubungan rapat dengan pesakit positif Covid-19 (sehari sebelum itu).

"Ini bermakna, saya diberitahu mengenai kuarantin kendiri itu selepas saya menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan turut menafikan bahawa beliau telah keluar secara terbuka untuk mengedarkan bungkusan makanan kepada pengundi di kawasannya pada 2, 4 dan 8 September.

"Saya tidak pergi ke khalayak ramai untuk mengedarkan bungkusan makanan selepas 2 September. Hantaran Facebook mengenai pengedaran bungkusan makanan di kawasan Parlimen Bagan dibuat beberapa kali pada atau sebelum 31 Ogos," katanya.

Jelas Guan Eng, beliau hanya berada di rumah untuk kuarantin kendiri setelah menghadiri Persidangan DUN Pulau Pinang pada 2 September dan kemudiannya diuji negatif.

Artikel Berkaitan:

"Kementerian Kesihatan secara rasmi telah mengeluarkan pesanan kuarantin diri selama 10 hari (1 hingga 10 September) pada 6 September dan saya diwajibkan memakai gelang merah jambu.

"Wakil rakyat DAP seperti Phee Boon Poh, Soon Lip Chee dan Sateesh Muniandy serta penerima yang hadir juga dapat membuktikan pengedaran bungkusan makanan yang dilakukan pada atau sebelum 31 Ogos.

"Hantaran Facebook mengenai pengedaran bungkusan makanan itu dibuat bukan pada hari yang sama tetapi setelah beberapa hari selepas program tersebut," katanya.

Pada Rabu, Pemuda Parti Gerakan Pulau Pinang membuat laporan polis terhadap Guan Eng kerana didakwa mengingkari peraturan kuarantin kendiri.

Jurucakap Pemuda Gerakan Pulau Pinang, Mohd Aswaad Jaafar juga telah mempersoalkan mengapa Guan Eng boleh hadir ke Persidangan DUN Pulau Pinang pada 2 September lalu, sedangkan beliau diarah menjalani kuarantin kendiri kerana menjadi kontak rapat kepada pesakit Covid-19.

Sebelum itu, di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, peguam Gobind Singh Deo yang mewakili bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu dalam perbicaraan kes empat pertuduhan membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama, memaklumkan kepada mahkamah bahawa anak guamnya itu telah diarah menjalani perintah kuarantin kendiri selama 10 hari bermula 1 hingga 10 September ini.