Industri pembinaan rugi RM42 bilion akibat Covid-19

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Industri pembinaan dianggarkan mengalami kerugian sebanyak RM42 bilion sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di negara ini pada 18 Mac tahun lalu sehingga kini.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, daripada jumlah itu, RM18 bilion adalah anggaran kerugian dalam tempoh PKP 3.0 yang bermula pada 1 Jun lalu sehingga September 2021.

Katanya, baki RM24 bilion merupakan kerugian daripada pelaksanaan PKP 1.0 pada tahun lalu yang menjejaskan pelaksanaan kerja pembinaan daripada Mac hingga Julai 2020.

"Kesan daripada pandemik Covid-19 dan pelaksanaan PKP, sektor pembinaan mencatatkan penurunan kadar pertumbuhan sebanyak 19.4 peratus pada 2020.

"Pada suku pertama tahun ini pula, sektor pembinaan terus menurun pada kadar 10.4 peratus.

Walau bagaimanapun, ia telah meningkat pada kadar 40.3 peratus pada suku kedua 2021," jelas beliau dalam sesi pertanyaan menteri pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Ahmad Nazlan Idris (UMNO-Jerantut) yang meminta kerajaan menyatakan cabaran yang dihadapi sektor pembinaan akibat pandemik Covid-19 dan kaedah Kementerian Kerja Raya (KKR) membantu sektor pembinaan dalam mendepani cabaran itu.

Susulan itu, Fadillah berkata, KKR bersama agensi di bawahnya termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) serta agensi pelaksana berkaitan telah mengadakan beberapa sesi libat urus bersama pemain-pemain industri bagi mendepani cabaran-cabaran yang timbul serta mencari penyelesaian terhadap cabaran tersebut.

Artikel Berkaitan:

Katanya, antara cabaran yang dihadapi oleh sektor pembinaan adalah kenaikan kos bahan binaan dan kenaikan kos upah pekerja terutamanya pekerja am. Ia adalah akibat kekurangan tenaga kerja disebabkan keperluan pekerja binaan mendapat vaksinasi lengkap selain kebanyakannya terdiri daripada pekerja asing yang pulang ke negara asal dan tidak dapat kembali ke sini.

"Kos Program Rekalibrasi Tenaga Kerja juga terpaksa ditanggung oleh kontraktor serta pengenaan syarat ketat bagi mendapatkan kelulusan serta penambahan kos kepada majikan bagi menyediakan penginapan pekerja binaan untuk memenuhi syarat dalam Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446).

"Selain itu, kos pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang perlu ditanggung sepenuhnya oleh kontraktor; dan keperluan untuk mewujudkan universal tempoh lanjutan masa (EOT - extension of time) ke dalam Akta Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Covid-19 atau Akta 829," katanya.

Fadillah menambah, KKR juga telah membuat cadangan sebagai penyelesaian terhadap cabaran-cabaran yang dikenal pasti itu.

"KKR ambil maklum berkenaan isu kenaikan kos bahan binaan dan telah mengemukakan cadangan untuk mewujudkan semula peruntukan pengiraan klausa perubahan harga (VOP) kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MoF).

"Kami juga menjalankan inisiatif Program Vaksinasi Industri Pembinaan (CIVac) bagi membantu pekerja-pekerja sektor pembinaan mendapatkan suntikan vaksin bagi membolehkan kerja-kerja di tapak pembinaan dapat diteruskan tanpa kekurangan pekerja," katanya.

Menurut beliau, kerajaan juga bersetuju untuk melonggarkan syarat rekalibrasi khusus untuk pekerja binaan dan menggalakkan penyediaan Kawasan Penginapan Pekerja (CLQ) oleh penyedia perkhidmatan.

Jelas beliau, bagi projek kerajaan kos pematuhan SOP bagi tempoh tertentu telah disenaraikan dalam kerja awalan.

"Turut dilaksanakan perkongsian kos akibat pematuhan SOP bagi tempoh tertentu," katanya.