Suami buta, kini isteri pula alami masalah penglihatan

Mohd Zaki bersihkan luka bisul di kaki Suzila ketika menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan di rumah sewanya di Taman Seremban Jaya, Seremban pada Rabu.
Mohd Zaki bersihkan luka bisul di kaki Suzila ketika menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan di rumah sewanya di Taman Seremban Jaya, Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki cacat penglihatan terpaksa menerima hakikat isteri yang selama ini menjadi 'mata' buatnya kini turut mengalami nasib yang sama.

Mohd Zaki Mohd Yusof, 49, mengalami masalah penglihatan ketika berusia 21 tahun selepas demam panas.

Isterinya, Suzila Sulaiman, 50, pula mengalami masalah sama Januari tahun ini akibat kencing manis selain terpaksa membuat pembedahan kaki sebelah kiri pada tahun lalu dan sebelah kanan pada awal tahun ini.

Menurutnya, isteri mula menghidap penyakit kencing manis ketika berusia 36 tahun.

"Sebelum ini saya akan bantu isteri berniaga makanan pada waktu siang dan pada waktu malam pula saya akan ambil upah mengurut.

"Tapi dah dua tahun isteri tak dapat berniaga disebabkan luka bisul pada kedua-dua kakinya makin teruk akibat kencing manis," katanya kepada Sinar Harian ketika menerima kunjungan Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (Perkasih N9) di rumah sewanya di Taman Seremban Jaya di sini pada Rabu.

Bercerita lanjut mengenai masalah penglihatan isteri, Mohd Zaki berkata, mata isterinya masih boleh nampak tetapi sangat kabur.

Oleh sebab itu katanya, doktor menyarankan untuk membuat pembedahan tetapi terpaksa ditangguhkan dahulu.

Artikel Berkaitan:

"Sekarang ini pun saya terpaksa mencuci luka kaki isteri dalam keadaan 'teraba-raba' kerana kami tak mampu nak pergi ke Klinik Kesihatan Senawang setiap hari.

"Kos pengangkutan pergi dan balik saja RM30. Jadi, kami buat keputusan cuci sendiri di rumah yang mana kos perubatan setiap bulan dianggarkan RM200," katanya.

Katanya, pandemik Covid-19 turut menyebabkan sumber pendapatan sebagai tukang urut terjejas.

Mohd Zaki berkata, dia kini bergantung dengan bantuan elaun pekerja cacat sebanyak RM450 sebulan dan adakalanya dibantu oleh anak-anaknya hasil perkahwinan terdahulu.

"Saya ada lima anak dan isteri pula ada dua anak angkat yang tinggal di tempat lain.

"Tapi kami pun tak mahu susahkan mereka yang ada kehidupan sendiri dan sekarang hanya berharap pihak kerajaan negeri dapat bantu dapatkan rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).

"Sekarang ini kami tinggal menyewa di tingkat atas rumah kedai dengan bayaran RM500 sebulan," katanya.

Selain itu, Mohd Zaki berkata, dia juga memerlukan bantuan mesin basuh bagi memudahkan urusan cucian pakaian memandangkan isterinya kini tidak lagi mampu melihat seperti biasa.