Selepas 19 tahun bertunang, Michelle Yeoh kini isteri Jean Todt

Michelle, Todt akhirnya sah bergelar suami isteri. - Foto INSTAGRAM FELIPE MASSA
Michelle, Todt akhirnya sah bergelar suami isteri. - Foto INSTAGRAM FELIPE MASSA
A
A
A

[DIKEMAS KINI] SETELAH 19 tahun mengikat tali pertunangan, aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh akhirnya selamat bergelar isteri kepada bekas ketua pegawai eksekutif Ferrari iaitu Jean Todt.

Pasangan itu melangsungkan perkahwinan dalam satu majlis yang diadakan secara tertutup di Geneva, Switzerland pada Khamis.

Berita tersebut dikongsi salah seorang tetamu majlis berkenaan iaitu pelumba Formula One, Felipe Massa menerusi laman Instagramnya hari ini.

“Selamat berkahwin, Jean Todt dan Michelle Yeoh. Sayang kamu,” tulisnya.

Michelle, 60, berkenalan dengan Jean pada Jun 2004 di Shanghai, China dan sejak itu hubungan cinta mereka sering menarik perhatian umum.

Pada perkongsian sama, Massa turut memuat naik kad jemputan perkahwinan yang tertera tarikh dan tempat majlis berkenaan dilangsungkan.

“Kami bertemu di Shanghai pada 4 Jun 2004. Pada 26 Julai 2004, JT (Jean Todt) melamar MY (Michelle Yeoh) dan dia bersetuju.

“Hari ini (semalam) selepas 6992 hari, pada 27 Julai 2023 dengan dikelilingi keluarga dan rakan, kami sangat gembira meraikan hari istimewa ini,” tulisnya pada kad jemputan tersebut.

Michelle sebelum ini mencipta sejarah apabila menjadi pelakon Asia pertama memenangi Anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Oscar ke-95 menerusi filem lakonannya, filem Everything Everywhere All at Once pada Mac lalu.