UTeM terima 2,089 pelajar baharu

Pendaftaran masuk pelajar ke UTeM dilakukan menerusi sistem secara dalam talian bermula Isnin lalu berikutan pandemik Covid-19.
Pendaftaran masuk pelajar ke UTeM dilakukan menerusi sistem secara dalam talian bermula Isnin lalu berikutan pandemik Covid-19.
A
A
A

MELAKA - Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menerima kemasukan seramai 2,089 pelajar baharu bagi program Ijazah Sarjana Muda sesi 2021/2022.

Pendaftaran masuk pelajar bagaimanapun dilakukan menerusi sistem secara dalam talian bermula Isnin lalu berikutan pandemik Covid-19.

Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTeM yang menjalankan fungsi Naib Canselor UTeM, Profesor Ir Dr Ghazali Omar berkata, UTeM terus menjadi pilihan lepasan matrikulasi, diploma dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) bagi melanjutkan pengajian di peringkat sarjana muda.

Beliau berkata, seramai 704 pelajar mendaftar untuk mengikuti pengajian program teknologi kejuruteraan di Fakulti Teknologi Kejuruteraan Elektik dan Elektronik (FTKEE) serta Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan (FTKMP).

Menurutnya, seramai 631 pelajar lagi mendaftar untuk mengikuti pengajian dalam bidang kejuruteraan di empat fakulti kejuruteraan iaitu Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), Fakulti Kejuruteraan Elektronik dan Kejuruteraan Komputer (FKEKK), Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM) dan Fakulti Kejurteraan Pembuatan (FKP).

"Penzahiran prestij kecemerlangan UTeM dalam bidang akademik, penyelidikan dan inovasi dalam dan luar negara menjadikan UTeM antara insititut pengajian tinggi yang menjadi pilihan utama pelajar.

"Kadar kebolehpasaran graduan berprestasi tinggi serta mampan menjadi buruan majikan, maka ia telah melonjakkan UTeM sebagai destinasi utama gerbang pengajian tinggi teknikal pilihan ramai," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Minggu Haluan Siswa (MHS) turut akan diadakan secara dalam talian bermula Khamis hingga Sabtu ini bersama pelajar baharu diploma yang mendaftar pengajian di universiti berkenaan pada awal Ogos lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sesi perkuliahan mahasiswa baharu program sarjana muda akan bermula pada 4 Oktober depan," jelas beliau.