Raja Puan Besar Perak lawat istana lama

Keberangkatan Raja Nazhatul Shima ke Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan pada Rabu menarik perhatian Sekretariat Pemuliharaan Khazanah Teluk Intan. FOTO AMIR KHUSYAIRI
Keberangkatan Raja Nazhatul Shima ke Istana Raja Muda Perak di Teluk Intan pada Rabu menarik perhatian Sekretariat Pemuliharaan Khazanah Teluk Intan. FOTO AMIR KHUSYAIRI
A
A
A

TELUK INTAN - Istana Raja Muda Perak di sini menerima kunjungan Raja Puan Besar Perak, Raja Nazhatul Shima Idris Shah pada Rabu.

Istana lama itu sebelum ini hangat diperkatakan bakal lenyap apabila kerajaan bersetuju menjual tapak tersebut secara tender terbuka.

Pengarah Sekretariat Pemuliharaan Khazanah Teluk Intan, Amir Khusyairi Mohamad Tanusi yang berkongsi mengenai keberangkatan baginda melalui Facebook itu berkata, pihaknya merafak sembah dan menjunjung kasih atas keprihatinan mencemar duli ke istana tersebut.

Menurutnya, kehadiran baginda menunjukkan perkembangan positif kepada bantahan orang ramai terhadap penjualan tanah tersebut.

Amir Khusyairi berkata, pihaknya menerima beberapa cadangan mengenai pemuliharaan bukan sahaja melibatkan istana lama berkenaan tetapi turut merangkumi semua khazanah serta warisan yang ada di Teluk Intan.

"Sekretariat ditubuhkan bagi menyusun, mengumpul pungutan dan menjalankan suara serta pendapat berkaitan isu-isu pemuliharaan khazanah di Teluk Intan.

"Bukan sahaja tertumpu kepada Istana Raja Muda Perak, tetapi semua sumber khazanah dan sejarah di Teluk Intan ini tidak kira dalam bentuk monumen atau aset bahkan turut melibatkan pemuliharaan peristiwa-peristiwa yang ada nilai sejarah di sini," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Amir Khusyairi berkata, sekretariat yang baru sahaja ditubuhkan itu dianggotai oleh wakil-wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu-individu yang prihatin terhadap khazanah warisan di Teluk Intan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, gerak kerja mereka akan tertumpu kepada usaha mendapatkan sokongan individu-individu, NGO dan syarikat-syarikat tempatan di Teluk Intan malah sokongan dari seluruh negara amnya dalam usaha memulihara warisan di bandar tersebut.

Beliau berkata, pihak sekretariat telah menerima banyak cadangan menerusi penulisan tokoh serta individu tertentu di media sosial dan media massa mengenai usaha memulihara Istana Raja Muda Perak itu selain tinggalan sejarah lain.

"Pada kami, cadangan-cadangan ini perlu diperhalusi dan diambil pendekatan secara holistik sekali gus boleh memberikan kebaikan semaksimum mungkin kepada rakyat Teluk Intan.

"Sekretariat akan menjadi platform dan ruang mengumpulkan cadangan-cadangan daripada orang ramai," katanya.

Beliau berkata, antara cadangan yang dikemukakan adalah Bangunan Istana Raja Muda Perak itu perlu dipulihkan seperti bentuk asal untuk dijadikan sebuah muzium.

Jelasnya, muzium itu kelak akan mengumpul dan mempamerkan maklumat-maklumat sejarah serta peristiwa penting di Teluk Intan.

Amir Khusyairi berkata, tanah sekeliling istana lama itu wajar dibangunkan untuk tujuan komersial tetapi hanya melibatkan aktiviti pelancongan sejarah.

Menurutnya, bagaimanapun ia perlu dibangunkan oleh Institusi Pengajian Tempatan Awam (IPTA) selaku pengurus harta dan tanah tersebut diwakafkan oleh kerajaan negeri kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).