Warga Afghanistan bimbang nak pulang

Dr Moheb Rahman
Dr Moheb Rahman
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kedutaan Afghanistan di Malaysia beroperasi seperti biasa dan sentiasa berhubung dengan warganya di negara ini susulan Taliban mengambil alih pentadbiran Afghanistan pada 15 Ogos lalu.

Duta Afghanistan ke Malaysia, Dr Moheb Rahman Spinghar berkata, pelajar Afghanistan terutama perempuan termasuk yang mempunyai keluarga di sini menyuarakan kebimbangan untuk kembali ke negara asal selepas menamatkan pengajian.

"Kebimbangan utama mereka mengenai hak wanita dan keselamatan pekerjaan. Kami merancang untuk berbincang mengenai perkara itu dengan pihak berkuasa yang berkaitan di sini,” katanya dalam wawancara di kedutaan.

Beliau berkata, masalah akan timbul jika ada visa warga Afghanistan yang akan tamat dan mereka menghadapi kesukaran untuk pulang ke negara asal atau enggan pulang buat masa ini.

Dr Moheb Rahman berkata, setakat ini belum ada maklumat diterima kedutaan mengenai mana-mana warga Afghanistan di Malaysia yang berhasrat untuk pulang.

Mengenai operasi kedutaan, Dr Moheb berkata, Kementerian Luar Afghanistan di Kabul telah mengarahkan semua misi Afghanistan di luar negara beroperasi seperti biasa.

Katanya, selain menghormati hak asasi manusia dan wanita seperti disaran masyarakat antarabangsa dan seperti yang dimahukan rakyat Afghanistan, mewujudkan pemerintahan inklusif di Afghanistan amat penting bagi keamanan serta kestabilan politik yang menyeluruh di negara itu.

"Sudah tentu banyak pertanyaan perlu dijawab Taliban mengenai struktur pemerintahan, penyertaan etnik dan agama minoriti dalam pemerintahan (dan) wanita dan hak asasi manusia. Saya tidak negatif atau positif (mengenai ini), "katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada masa ini terdapat kira-kira 4,000 hingga 5,000 rakyat Afghanistan di sini termasuk pelarian, pelajar dan komuniti perniagaan. Daripada jumlah ini, sekitar 700 terdiri penuntut yang melanjutkan pengajian di beberapa universiti di Malaysia.

Dr Moheb Rahman yakin pelajar Afghanistan masih akan memilih Malaysia untuk melanjutkan pengajian apabila keadaan di sana semakin baik.

"Malaysia adalah hab pendidikan penting di rantau Asia Tenggara bagi rakyat Afghanistan," katanya.

Beliau berkata, di sebalik perubahan pemerintahan di Afghanistan terdapat peluang bagi komuniti perniagaan Malaysia untuk melabur dalam sektor mineral kerana Afghanistan kaya dengan simpanan mineral seperti emas, uranium, tembaga, minyak, gas asli, litium, kromium dan bijih besi bernilai kira-kira AS$3 trilion.

"Saya juga berharap Malaysia meningkatkan dagangan dua hala dengan Afghanistan yang sekarang (berdasarkan) eksport minyak sawit ke negara saya," katanya sambil menambah pandemik Covid-19 menyebabkan beberapa kekangan dalam dagangan dua hala eksport dan import.

Ujar beliau, menjalankan perniagaan di Afghanistan, turut memberi laluan untuk peluang perdagangan dengan negara serantau dan jiran seperti Iran, Pakistan, Tajikistan, Uzbekistan, Turkmenistan dan China yang mempunyai pasaran luas untuk barang serta produk Malaysia. - Bernama