X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Pengasuh mengaku tidak bersalah cubaan bunuh, hempas bayi

Nursahidah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan cubaan bunuh terhadap seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah minggu lalu.
A
A

IPOH - Seorang pengasuh mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Rabu atas pertuduhan cubaan bunuh terhadap seorang bayi lelaki berusia tujuh bulan di sebuah rumah, di sini minggu lalu.

Tertuduh, Nursahidah Amran, 22, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Norita Mohd Ardani.

Wanita itu didakwa telah menghentak dan menyebabkan kecederaan di kepala Raid Hazim Ratno Hidayat yang berusia tujuh bulan, dengan pengetahuan tertuduh bahawa perbuatan itu boleh menyebabkan kematian kepada bayi berkenaan.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di dalam sebuah rumah di Taman Desa Pelancongan 2, Ipoh dalam daerah Kinta antara jam 7 pagi sehingga 2.45 petang pada 22 September lepas.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika sabit kesalahan.

Mengikut pertuduhan pilihan, tertuduh turut didakwa menganiaya mangsa sehingga menyebabkan kanak-kanak itu mengalami kecederaan fizikal pada masa, tarikh dan tempat yang sama.

Bagi kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Afiqa Liyana Rozman dan Afiqah Izzati Mazlan tidak menawarkan sebarang jaminan kerana mengambil kira kesalahan serius yang dilakukan tertuduh.

Peguam Muhamad Shahrul Nizam Mohd Rabi dan Mohamad Salihen Mastor yang mewakili tertuduh bagaimanapun memohon jaminan diberikan atas alasan ia kesalahan yang boleh dijamin, manakala tertuduh seorang wanita dan dalam keadaan darurat kesihatan di penjara tahanan memungkinkan tertuduh terdedah kepada Covid-19.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan tertuduh dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah turut menetapkan 30 November depan untuk sebutan semula kes.

Pada 24 September lepas, polis menahan pengasuh terbabit selepas menerima laporan daripada bapa mangsa yang mengesan terdapat bengkak di kepala anaknya.

Rawatan yang dijalani di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati mangsa mengalami pendarahan di kepala dan tempurung kepala mangsa retak.

Siasatan polis kemudiannya membongkar tindakan wanita itu yang dipercayai telah menghempas kepala mangsa sebanyak dua kali ke lantai kerana marah selepas bayi itu tidak berhenti menangis.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!