Lombong haram di Lipis disita

Status yang dimuat naik Wan Rosdy di Facebook miliknya.
Status yang dimuat naik Wan Rosdy di Facebook miliknya.
A
A
A

KUANTAN - Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) mengesan dan menggagalkan perlombongan disyaki haram di atas tanah kerajaan Pahang di Lipis pada Selasa.

Perkara itu dimaklumkan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi laman Facebook rasmi miliknya.

Beliau turut mengucapkan tahniah kepada UPNP di atas kejayaan itu.

“Ucapan tahniah juga kepada Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak yang sanggup turun padang menyertai operasi risikan yang dilakukan sehari sebelumnya.

“Semasa anggota-anggota UPNP memasuki kawasan, tiada sebarang aktiviti dilakukan tetapi mendapati terdapat kesan aktiviti disyaki melombong,” katanya.

Wan Rosdy menjelaskan hasil operasi itu, pihak UPNP menyita beberapa kenderaan yang berada di kawasan terbabit iaitu sebuah jengkaut, sebuah lori, sebuah generator, sebuah pam air dan dua motosikal.

"Saya dimaklumkan, di bawah Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri Pahang 2001 jika Notis Sitaan dituntut oleh pelombong disyaki haram serta sabit kesalahan, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara tidak melebihi 10 tahun atau kedua-duanya.

“Sekiranya Notis Sitaan tidak dituntut pula, Seksyen 141 Enakmen yang sama menetapkan bahawa proses pelucuthakan benda-benda yang disita boleh diambil," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Wan Rosdy berkata, sepanjang tahun ini, pihak UPNP berjaya menyita 27 jentera excavator, 26 lori, 24 pam air, tiga palong, lima set mesin pemecah batu, tiga buah motosikal, satu set pengesan logam.

"Kesemua barangan yang disita dianggarkan bernilai kira-kira RM2.2 juta,” katanya.