IGM saran kerajaan berani buat pelaburan pengurusan risiko bencana

Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Kedah/Perlis/Pulau Pinang Abdullah Sulaiman (dua kiri) memberi penerangan kepada Abd Rasid (dua kanan) ketika mengadakan lawatan teknikal ke kawasan bencana kepala air Titi Hayun.
Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) Kedah/Perlis/Pulau Pinang Abdullah Sulaiman (dua kiri) memberi penerangan kepada Abd Rasid (dua kanan) ketika mengadakan lawatan teknikal ke kawasan bencana kepala air Titi Hayun.
A
A
A

YAN - Institut Geologi Malaysia (IGM) menyarankan kerajaan perlu berani membuat pelaburan dalam pengurusan risiko bencana kepala air termasuk menyediakan sistem amaran awal sebagai persediaan dan kesiapsiagaan pada masa hadapan.

Presiden IGM, Abd Rasid Jaapar berkata, pihaknya mengharapkan agar kerajaan berani melabur dalam pengurusan risiko bencana yang amat diperlukan oleh sesebuah negara membangun.

Menurutnya, selain sistem amaran awal, persediaan juga perlu melibatkan pelbagai aspek antaranya kesiapsiagan masyarakat setempat selain pemetaan risiko bencana yang lebih komprehensif membabitkan pelbagai agensi.

"Semua aspek ini berkait rapat dengan pengurusan risiko bencana, kita harap kerajaan dapat merealisasikannya. Kita dah dengar banyak kali pengumuman dilakukan untuk buat itu dan ini (setiap kali bencana) tetapi kita nak satu pelaksanaan yang benar-benar berlaku.

"Kita tak nak pengumuman kerajaan itu sekadar retorik semata-mata," jelasnya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai Lawatan kerja Majlis Koordinasi Geosains Malaysia (MGCC) ke lokasi bencana kepala air Gunung Jerai yang berlaku 18 Ogos lalu, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Abd Rasid berkata, pengurusan pengurangan risiko juga perlu memfokuskan kepada mengenal pasti kawasan berisiko, mitigasi risiko serta daya tahan komuniti setempat di lokasi terbabit.

"IGM sebagai pertubuhan ikhtisas untuk ahli geologi berpendapat tragedi bencana geologi sepatutnya boleh dielak atau dikurangkan risiko sekiranya kajian terperinci dan pelan tindakan dibangunkan dengan mengarusperdanakan konsep pengurusan risiko bencana selari dengan amalan baik antarabangsa yang digariskan dalam Sendai framework for Disaster Risk Reduction 2015-2030 oleh United Nations Office for Disaster Risk Reduction (UNDRR)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerajaan perlu menubuhkan jawatankuasa atau kumpulan kerja di peringkat kebangsaan yang terdiri daripada pakar pelbagai bidang daripada pelbagai sektor antaranya institusi penyelidikan, agensi awam, pengamal swasta, pertubuhan professional dan pertubuhan bukan kerajaan.

"Kami amat memerlukan pasukan yang pakar dalam pemetaan aliran puing, permodelan, analisa taburan hujan, sistem amaran awal dan juga strategi mitigasi sama ada secara kejuruteraan atau bukan kejuruteraan," ujarnya.

Beliau menjelaskan, IGM amat komited dalam menyokong usaha kerajaan dan pelbagai pihak berkepentingan ke arah pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan yang lebih holistik dalam menilai risiko bencana geologi berasaskan sains, memahami tahap keterancaman setempat dan mencari solusi yang bersifat jangka panjang berasaskan maklumat geologi yang lengkap, tepat serta komprehensif.

"Komuniti geosains juga melalui IGM, Persatuan Geologi Malaysia (GSM) ataupun Persatuan Perunding dan Perkhidmatan Geosains Malaysia (MyGeo) sentiasa bersedia untuk bersama-sama membantu kerajaan melalui program-program kesiapsiagan bersama masyarakat," katanya.

Tragedi kepala air Gunung Jerai yang berlaku bulan lalu mengorbankan enam nyawa serta menjejaskan lebih 1,000 keluarga di daerah Kuala Muda dan Yan akibat kerosakan tempat tinggal dan harta benda.