SPRM digesa siasat Sistem uCustoms

Kah Woh (depan, kiri) dan Nik Azman (depan, kanan) pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Selasa.
Kah Woh (depan, kiri) dan Nik Azman (depan, kanan) pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Selasa.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa melakukan siasatan segera terhadap Sistem uCustoms bernilai RM397.43 juta melibatkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang gagal disiapkan tetapi pembayaran telah dibuat.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) Parlimen, Wong Kah Woh berkata, sistem dalam talian itu gagal disiapkan sehingga kini sejak ia dimulakan pada Oktober 2013 sedangkan kerajaan sudah membayar sejumlah RM272.99 juta kepada syarikat terpilih.

Menurutnya, ia merupakan salah satu daripada 25 isu dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2019 Siri 2 yang bersifat tindakan pembaziran atau punitif.

"Kos asal projek ini adalah RM317 juta dan selepas disambung selama lima kali ia meningkat kepada RM397.43 juta, namun gagal disiapkan.

"Sistem ini pada awalnya dibangunkan untuk memudahkan urusan pengguna secara dalam talian tetapi sebab tidak siap, ia gagal untuk diakses," katanya pada sidang akhbar di Dewan Rakyat pada Selasa.

Hadir sama, Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abdul Majid.

Sebelum itu, PAC Parlimen diberi taklimat oleh Nik Azman berhubung LKAN 2019 Siri 2 (Aktiviti Kementerian/Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Badan-Badan Berkanun Persekutuan serta Pengurusan Syarikat Kerajaan yang dibentangkan di Dewan Rakyat).

Mengulas lanjut, Kah Woh berkata, SPRM harus bersikap lebih agresif dan memandang serius isu-isu yang dibangkitkan dalam LKAN.

Artikel Berkaitan:

"Jawatankuasa ini memandang serius peningkatan isu yang bersifat punitif dalam LKAN 2019 Siri 2 berbanding LKAN 2019 Siri 1 yang hanya mencatatkan 11 isu tindakan punitif.

"PAC menggesa SPRM melakukan siasatan segera terhadap semua isu yang dikategorikan sebagai punitif," katanya.

Tambah beliau, PAC telah mengadakan prosiding untuk lapan isu yang dilaporkan dalam LKAN 2019 Siri 1 dan satu perbincangan khas jawatankuasa itu akan diadakan bagi menentukan isu-isu dalam LKAN Siri 2 yang dipanggil untuk prosiding.

"Antara isu yang berkemungkinan besar dipanggil PAC adalah membabitkan Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia yang melibatkan Sistem u-Customs ini.

"PAC akan terus menjalankan kerjasama strategik bersama Jabatan Audit Negara khususnya Ketua Audit Negara dalam memastikan perbelanjaan dan kewangan kerajaan digunakan secara berhemah serta memberikan pulangan terbaik kepada rakyat dan negara," katanya.