X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

Pengurusan kes bekas ADUN Batu Maung pada 3 November

Mansor hadir di Mahkamah Sesyen hari ini untuk sebutan kes yang dihadapinya berhubung 164 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM20.22 juta. - Foto Bernama
A
A

BUTTERWORTH - Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa menetapkan 3 November depan untuk pengurusan kes pengubahan wang haram bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Datuk Mansor Musa yang menghadapi 164 pertuduhan membabitkan RM20.22 juta.

Hakim Ahmad Azahari Abd Hamid menetapkan tarikh tersebut selepas membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya kesemua pertuduhan pengubahan wang haram yang dihadapi tertuduh, dibicarakan serentak.

Pada 12 Julai lepas, Mansor, 58, yang juga Pengerusi Koperasi Tunas Muda Sungai Ara Berhad mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas 106 pertuduhan pengubahan wang haram bernilai lebih RM11 juta.

Sementara di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 15 Julai 2021, tertuduh minta dibicarakan atas 58 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM9.22 juta.

Mahkamah sebelum itu membenarkan permohonan peguam Datuk Hasnal Rezua Merican agar jaminan yang ditetapkan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dibatalkan dan mengguna pakai jaminan RM500,000 dengan seorang penjamin yang dikenakan oleh Mahkamah Sesyen di sini sebelum ini.

Tertuduh didakwa melibatkan diri dalam pengubahan wang haram iaitu menerima wang dalam bentuk tunai, aset dan saham melalui syarikat yang berbeza, pada sekitar 2008 sehingga Ogos tahun lepas.

Kesemua pertuduhan terhadap Mansor dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 (AMLATFA 2001) dan Seksyen 4 (1) (b) Akta sama.

Kesalahan di bawah Seksyen 4 (1) (a) AMLATFA 2001 boleh dihukum denda maksimum RM5 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya manakala Seksyen 4 (1) (b) Akta yang sama membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda hingga lima kali hasil daripada kegiatan haram itu atau RM5 juta yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Perundangan dan Pendakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Faridz Gohim Abdullah bersama Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Law Chin Ho. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!