X

Kindly register in order to view this article
!

Lestari pemerkasaan mahkamah syariah

Gambar hiasan
A
A

PERTABALAN Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang mengangkat sumpah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-16 pada 31 Januari lalu menzahirkan kesinambungan agenda pemerkasaan kedudukan Islam dan undang-undang syariah yang berdepan saat getir.

Mengambil alih jawatan tertinggi selaku ketua negara tercinta daripada Sultan Muhammad V, baginda Sultan Abdullah diyakini mampu menggalas amanah seperti yang diikrarkan untuk memelihara agama Islam pada setiap masa.

Baginda yang baru saja dimasyhurkan sebagai Sultan Pahang pada 15 Januari lalu cukup terkenal dengan keperibadian mulia, berjiwa rakyat serta raja yang mengagungkan agama Islam. Ini terbukti dengan pemilihan gelaran rasmi baginda Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah yang bermaksud pembela agama yang dipilih ALLAH di samping gema takbir ‘Allahuakbar’ sebanyak 3 kali sebelum laungan ‘Daulat Tuanku’ sejurus pemasyhuran.

Kebijaksanaan baginda terserlah sejak dari memangku Sultan Pahang sebelum diangkat menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16. Dalam satu titah, baginda menzahirkan kefahaman Islam dan syariah yang syumul, tegas namun bersifat rahmah.

Dalam isu khalwat yang merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 32 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Pahang) 2013, baginda bertitah pada 7 Oktober tahun lalu bahawa serbuan tetap akan diteruskan namun mestilah mengikut SOP yang ditetapkan Majlis Agama Islam Pahang. Di samping itu, baginda turut mengambil pendekatan rahmah dengan menggalakkan program kesedaran berbanding tindakan undang-undang.

Justeru, usaha untuk memperkasa secara menyeluruh mahkamah syariah yang mengadjudikasi hal ehwal orang Islam wajar disokong khususnya pemimpin beragama Islam di setiap peringkat kerajaan. Pengumuman mengenai enam pembaharuan mahkamah syariah oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa pada 13 Februari lalu wajar direalisasikan serta didukung masyarakat dan pemimpin Islam.

Selain meningkatkan kecekapan penyelesaian kes dengan projek proses Kerja Kes Cerai Fast Track dan program latihan serta melanjutkan pengajian bagi melahirkan pegawai syarie yang lebih kompeten, beliau turut mencadangkan kajian dan semakan semula undang-undang sedia.

Pun demikian, perhatian harus diberikan terhadap desakan segelintir pihak yang bertujuan melemahkan keabsahan undang-undang syariah serta institusi kehakimannya.

Antara natijah yang dapat dilihat adalah menerusi penghakiman kes Indira Gandhi awal tahun lalu yang disifatkan oleh pendukung liberalisme dan sekularisme sebagai ‘landmark’ penting dalam sistem dwi-perundangan negara.

Pengimportan doktrin ‘basic structure’ berdasarkan perlembagaan negara asing dalam kes berprofail tinggi dan berkepentingan awam itu memberi impak besar sehingga menjatuhkan martabat mahkamah syariah.

Justeru, cadangan untuk meminda Undang-undang Tubuh Negeri bagi penubuhan mahkamah syariah seperti disuarakan Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria dan Presiden Peguam Muslim Malaysia (PPMM) Datuk Zainul Rijal Abu Bakar wajar mendapat perhatian kerajaan Persekutuan dan negeri.

Tambahan pula, Rang-Undang-Undang Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 atau lebih dikenali sebagai RUU355 wajar dibentangkan oleh kerajaan. Ia bertujuan meningkatkan had hukuman yang boleh dikenakan oleh mahkamah syariah setelah pindaan dibuat di peringkat negeri.

Perlu diingatkan bahawa had hukuman tersebut tidak secara jelas tertumpu kepada kesalahan jenayah syariah di bawah Enakmen Jenayah Syariah, bahkan ia merangkumi kesalahan berkaitan hukum syarak yang diperuntukkan lain-lain enakmen seperti Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Melaka) 2002 seperti poligami tanpa kebenaran mahkamah dan menganiaya isteri atau suami.

Langkah mencegah dari sudut undang-undang seiring dengan didikan dan bimbingan tidak seharusnya diketepikan dengan peningkatan kes-kes berkenaan pada masa kini. Bahkan, ia adalah satu keperluan dan terserah kepada budi bicara dan hikmah para hakim syarie dalam membuat keputusan.

Selain itu, peruntukan khusus mengenai kesalahan murtad dan tatacara keluar dari agama Islam memerlukan pindaan yang lebih tuntas. Saban tahun umat Islam digemparkan dengan permohonan untuk keluar dari agama Islam yang mengambil jalan mudah melalui mahkamah sivil sehingga menimbulkan kegusaran akibat ketidaktentuan dalam perundangan.

Ada di antara mereka didukung pihak yang membelakangkan bidang kuasa mahkamah syariah dalam hal tersebut dengan cubaan mendapatkan deklarasi oleh mahkamah sivil bahawa kes murtad tidak terletak di bawah bidang kuasa mahkamah syariah.

Cadangan segelintir pihak untuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi memudahkan proses keluar dari agama Islam adalah suatu penghinaan terhadap institusi Islam dan undang-undang syariah.

Ia tidak mengambil kira proses kaunseling, runding cara atau bimbingan bagi maksud menasihati pemohon untuk menimbang semula Islam sebagai agamanya seperti termaktub dalam Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Sembilan) 2003.

Oleh itu, pindaan bagi memasukkan peruntukan sedemikian dalam enakmen pentadbiran agama Islam di setiap negeri wajar disegerakan bagi meleraikan kecelaruan terhadap undang-undang sedia ada di samping mencegah orang Islam dari terjebak dalam gejala murtad.

Semoga dengan inisiatif-inisiatif ini mahkamah syariah dan undang-undang Islam serta prosedur berkaitan dapat diperkasa berteraskan ketegasan prinsip dalam beragama sejajar dengan kebijaksanaan baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang memikul amanah menjaga agama Islam pada setiap masa.

Ia sekali gus menjadi tamparan hebat kepada pendukung liberalisme dan sekularisme yang menuntut pemisahan agama daripada pentadbiran dan perundangan, lebih mendukacitakan menuntut agar undang-undang Islam dimansuhkan sama sekali atas alasan mencapai kesamarataan dan mendukung hak asasi manusia.

* Ahli Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!