X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Terengganu dijangka beralih ke Fasa 4 PPN hujung Oktober

Ahmad Samsuri (tengah) meninjau proses vaksinasi pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga di SMK Pengkalan Berangan. Marang pada Selasa.
A
A

MARANG - Terengganu dijangka beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN) selewat-lewatnya hujung Oktober ini.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia berdasarkan perkembangan semasa, antaranya melibatkan kadar vaksinasi penduduk, penggunaan katil pesakit Covid-19 terutama di unit rawatan rapi (ICU) serta kadar jangkitan Covid-19 bagi setiap 100,000 penduduk di negeri ini.

"Belum ada jangkaan lagi tetapi berdasarkan data sedia ada, Insya-ALLAH Terengganu bakal beralih ke Fasa Empat PPN dalam tempoh terdekat ini.

"Perkara ini juga akan diperhalusi menerusi mesyuarat Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang akan diadakan pada Rabu," katanya kepada pemberita selepas melawat program vaksinasi pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pengkalan Berangan di sini pada Selasa.

Berdasarkan rekod, sehingga kini sebanyak 82.7 peratus populasi dewasa di negeri ini sudah lengkap dua dos suntikan vaksin, manakala 91.2 peratus lagi telah mendapatkan suntikan dos pertama.

Selain itu, kadar penggunaan katil pesakit Covid-19 di hospital di seluruh negeri setakat ini melibatkan sebanyak 65.6 peratus.

Sementara itu, Ahmad Samsuri berkata, seluruh jentera kerajaan dan rakyat di negeri ini perlu bersedia untuk memasuki era endemik Covid-19.

"Apabila tiba masanya, kita perlu beralih dari pandemik ke endemik. Sebab itu kita perlu belajar hidup dengan Covid-19. Itulah pentingnya proses vaksinasi ini supaya kita boleh meneruskan kehidupan seperti biasa.

"Kegagalan meneruskan kehidupan seperti biasa memberi kesan kepada ekonomi. Apabila ekonomi terganggu, masalah lain pula akan timbul," ujarnya.

Pada Selasa, seramai 1,470 pelajar Tingkatan Satu hingga Tiga dari empat buah sekolah iaitu SMK Pengakalan Berangan, SMK Durian Guling, SMK Wakaf Tapai dan Imtiaz Marang mendapatkan dos pertama suntikan vaksin Covid-19.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!