Persediaan belajar secara bersemuka

No Image Caption
A
A
A

MENGIKUT statistik, jumlah pelajar di Malaysia adalah seramai 2.5 juta orang dan sehingga Ahad, seramai 681,853 daripadanya telah menerima suntikan dos pertama, manakala 108,935 lagi telah melengkapkan vaksinasi sejak 20 September lalu.

Angka itu menunjukkan 26.9 peratus telah menerima suntikan sejak ia dilancarkan dan 4.3 peratus lagi telah lengkap divaksin.

Peratusan pelajar yang mendapat suntikan mengikut negeri tertinggi ialah Wilayah Persekutuan Labuan (76.6 peratus dos pertama dan 6.4 peratus dos kedua), Sabah (dos pertama 65.3 peratus dan 7.2 peratus dos kedua), manakala Sarawak (37.3 peratus dos pertama dan 6.9 peratus dos kedua).

Sementara itu, Perlis telah mencapai 33.3 peratus dos pertama dan 4.6 peratus dos kedua, Pahang dengan 30.7 peratus untuk dos pertama dan 3.4 peratus telah menerima dos kedua, manakala Perak dengan jumlah pelajar seramai 53,770 atau 26.5 peratus telah menerima suntikan dos pertama dan 7,633 orang atau 3.8 peratus dos kedua.

Statistik itu membuktikan kerajaan melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berusaha memberikan yang terbaik kepada ibu bapa terutama pelajar-pelajar dalam usaha melancarkan sesi pembukaan sekolah yang dijadualkan 3 Oktober ini.

Pembukaan sesi persekolahan secara bersemuka mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) dilihat sebagai langkah persediaan bagi memastikan pelajar-pelajar dapat kembali menikmati kehidupan bersekolah.

Tidak dinafikan, angka jangkitan Covid-19 sehingga hari ini masih kekal lima angka dan ia pastinya membimbangkan ibu bapa untuk ‘melepaskan’ anak masing-masing menghadiri sesi persekolahan secara bersemuka.

Begitupun, ibu bapa seharusnya bimbang tahap kesihatan mental dan emosi anak-anak mereka kerana menurut Pakar Psikologi Kaunseling, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Profesor Datuk Dr Mohamed Fadzil Che Din, pembukaan sesi persekolah dilihat mampu membantu perkembangan sosioemosi murid dalam mengadaptasi diri dengan persekitaran pendidikan sebenar.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga berpendapat, jika terlalu lama sekolah tidak dibuka dan murid meneruskan sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), ia akan memberi kesan kepada minat dan fokus mereka terhadap aktiviti pembelajaran kerana kaedah PdPR yang terhad.

Dalam pada itu, hasil kajian di India, Maldives, Pakistan dan Sri Lanka mendapati penutupan sekolah ketika pandemik mengakibatkan jurang perbezaan pembelajaran yang ketara terhadap 434 juta kanak-kanak di Asia Selatan walaupun terdapat usaha memperluas pendidikan jarak jauh.

Seperti juga di Malaysia, seluruh dunia turut mengalami masalah capaian internet rendah, kekurangan komputer dan kapasiti guru yang terhad. Ia menjadi kekangan utama bagi proses pembelajaran dalam talian.

Oleh itu, sekolah merupakan tempat terbaik bagi murid mendapatkan pendidikan sempurna kerana terdapatnya fasiliti yang lengkap, kurikulum yang baik serta guru yang dapat membantu murid meningkatkan perkembangan emosi, mental dan fizikal, sekali gus membina masa depan mereka.

Untuk itu, bagi negeri-negeri yang berada dalam fasa empat, ibu bapa disarankan membuat persediaan rapi sebelum sesi persekolahan dibuka.

Dalam hal ini, ibu bapa dinasihatkan agar tidak paranoid dan jangan berlebih-lebih kerana hanya beberapa hari sahaja lagi seluruh negara akan beralih ke fasa endemik.

Adalah lebih baik sekiranya ibu bapa berganding bahu bersama pihak sekolah, guru dan kerajaan bagi memudahkan dan melancarkan lagi sesi persekolahan secara bersemuka.

Sebagai persediaan awal, ibu bapa boleh mendidik anak-anak mengenai apa itu Covid-19.

Pada masa sama tekankan kepentingan kebersihan dengan amalan mencuci tangan, sentiasa memakai pelitup muka dan amalkan penjarakan fizikal.

Walaupun kesemua maklumat itu mungkin sudah diketahui tetapi tidak ada salahnya sekiranya anak-anak sentiasa diingatkan.

Peralihan daripada pandemik kepada fasa endemik membuktikan keberkesanan PPN yang memberi tumpuan kepada usaha mengembalikan persekitaran sosial dan ekonomi negara kepada keadaan asal sebelum Covid-19 melanda dunia.

Namun fasa endemik tetap bergantung kepada sejauh mana rakyat membiasakan diri dengan norma baharu dan sentiasa akur kepada prosedur operasi standard (SOP) yang akan terus terpakai sehingga satu waktu yang dianggap keadaan sudah selamat.

Selagi penawar tidak ditemui, kita tetap akan hidup bersama dengan Covid-19 sampai bila-bila kerana ia tetap ada.

Kerana itu, penting untuk terus amalkan SOP seperti disaran kerajaan dan ibu bapa diharap jangan takut menghantar anak masing-masing ke sekolah demi masa depan mereka.

* Mariatul Qatiah Zakaria ialah Editor Eksekutif GPSBestari, Sinar Harian