Dana RM1.4j: Rameli puas hati beri keterangan pada SPRM

Rameli
Rameli
A
A
A

PUTRAJAYA - Selepas lima jam, Pengerusi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Seri Rameli Musa berpuas hati dengan keterangan diberikannya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung persetujuan penyelesaian saman membabitkan RM1.4 juta.

Persetujuan saman itu adalah antara Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown.

"Saya berpuas hati (beri keterangan)... Saya sudah jelaskan semua," katanya.

Menurutnya, selain merakamkan keterangan, beliau turut menyerahkan satu dokumen kepada suruhanjaya itu.

"Serah satu dokumen berhubung isu cek RM1.4 juta," katanya.

Beliau berkata, terpulang kepada SPRM untuk memanggilnya semula bagi menyiasat kes tersebut.

"Tidak tahu lah akan dipanggil lagi. Terpulang kepada mereka," katanya.

Terdahulu, Rameli tiba di ibu pejabat suruhanjaya itu jam 9.55 pagi bersama isterinya sebelum diambil keterangan setengah jam kemudian.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Sarawak Report memuatkan naik beberapa gambar salinan dokumen berkaitan, termasuk perjanjian rahsia, sekeping cek Bank Islam dan sepucuk surat kepada Maybank yang mengesahkan wang RM1,422,980 itu datang daripada Abdul Hadi.

Peguam Clare bagaimanapun berkata, pembayaran itu tidak diterima daripada Abdul Hadi sebaliknya daripada pihak ketiga.

Sabtu lalu, Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli memuatnaik gambar pertemuan antara Abdul Hadi dengan Rameli yang didakwa membayar RM1.4 juta kepada Clare.

Selain Rameli, bekas Exco Selangor, Dr Mohd Zaidy Abdul Talib yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Selayang dan seorang kerani pejabat parti itu, Mohd Khoirul Anuar Mat Zuki juga turut hadir memberi keterangan dipercayai berhubung penerimaan dana RM90 oleh Pas.

SPRM juga merakamkan keterangan mereka hampir lima jam.

Pada 24 Februari lalu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull mengesahkan tiada kemasukan dana 1MDB ke dalam akaun Pas seperti didakwa sebelum ini.

SPRM sebelum ini dalam satu kenyataannya mengesahkan telah memulakan siasatan ke atas dakwaan penyaluran dana berkenaan selepas menerima laporan daripada orang awam.

Susulan itu beberapa individu dipanggil bagi membantu siasatan termasuk Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Timbalan Presiden Pas, Datuk Dr Nasharudin Mat Isa,

Naib Presiden Amanah, Datuk Husam Musa dipanggil ke pejabat SPRM Kota Bharu, Kelantan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.