X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

Aktiviti pembalakan di Kedah, Mapim gesa campur tangan kerajaan

Antara kawasan yang dicerahkan di Hutan Simpan Gunung Inas untuk pembangunan hutan bagi menanam pokok durian musang king, pada awal tahun. (Gambar kecil: Mohd Azmi)
A
A

ALOR SETAR – Majlis Perundingan Islam Malaysia (Mapim) menggesa kerajaan Persekutuan campur tangan dalam kebenaran pembalakan seluas 75,000 hektar di negeri seperti didedahkan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah minggu lalu.

Presidennya, Abdul Hamid berkata, pihaknya bimbang aktiviti pembalakan melibatkan kawasan seluas itu, termasuk 25,000 hektar di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda menjadi ‘resipi’ berlakunya malapetaka alam lebih besar di Kedah.

Sehubungan itu, pihaknya mahu Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor mendedahkan secara terperinci butiran berkaitan konsesi balak dan premium yang telah dibayar bagi memastikan ketelusan dalam pengurusan hutan.

“Nama-nama syarikat konsesi balak, tempoh penebangan syarikat konsesi serta melibatkan kawasan mana, berapa yuran konsesi yang dibayar kepada kerajaan, nilai cukai balak yang diperolehi perlu didedahkan. Kita mahu tahu apa komitmen syarikat terbabit sekiranya bencana berlaku akibat pembalakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Azmi berharap isu yang membelenggu Kedah itu dapat dirungkai secara bijaksana setelah kerajaan Persekutuan mengadakan rundingan dengan kerajaan negeri dan kebenaran pembalakan itu dapat disemak semula.

“Kami harap pandangan daripada agensi berkaitan, ahli profesional, pakar alam sekitar serta NGO (pertubuhan bukan kerajaan) diambil kira untuk melihat implikasi pembalakan yang dilakukan dalam kawasan yang luas.

"Dengan kadar 4,166 hektar setahun yang akan dibalak, kesan kerosakan ekologi akan berganda dalam tempoh 18 tahun, malah apa sahaja boleh berlaku sepanjang pembalakan beroperasi,” katanya lagi.

Menurutnya, sektor pertanian terutama sawah padi akan menjadi mangsa utama apabila hutan dan kawasan tadahan air tergugat akibat pembalakan.

“Ribuan petani akan terkesan, kawasan jelapang padi akan menerima akibat buruk apabila banjir atau kemarau ekstrim berlaku.

"Itu belum lagi risiko banjir yang berlaku pada skala besar yang kelak mengakibatkan kemusnahan infrastruktur awam dan kehidupan rakyat,” katanya.

Mohd Azmi tegaskan, kerosakan alam yang dilakukan oleh tangan manusia inilah yang menjadi punca kepada bencana yang semakin kerap dan berskala besar.

Pada Rabu lalu, Muhammad Sanusi berkata, kerajaan negeri terpaksa membenarkan aktiviti pembalakan di kawasan Hutan Simpan Ulu Muda diteruskan oleh syarikat pembalakan bagi mengelakkan implikasi undang-undang.

Namun aktiviti pembalakan hanya diteruskan di kawasan yang telah dikeluarkan lesen pembalakan sebelum ini.

Ia bagi mengelak pihaknya perlu membayar pampasan kepada syarikat yang sudah membayar premium sekiranya ingin membatalkan kelulusan kerja-kerja pembalakan tersebut.

Jumlah kelulusan seluruh Kedah yang diluluskan kerajaan sebelum ini adalah 75,000 hektar termasuklah 25,000 hektar di kawasan Ulu Muda.

Berdasarkan catuan tebangan 4,200 hektar setahun, tempoh diperlukan untuk menebang semua pokok yang diluluskan di kawasan seluas 75,000 hektar mengambil masa selama 18 tahun.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!