X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

Polis serbu pusat judi dalam talian

Ayob Khan menunjukkan komputer yang dirampas daripada sindiket judi atas talian yang diserbu di Kota Persiaran Southkey Johor Bahru.
A
A

JOHOR BAHRU - Polis berjaya menumpaskan sindiket perjudian dalam talian dengan penahanan tujuh individu yang menjadikan sebuah unit pangsapuri di Kota Persiaran Southkey di sini sebagai pusat panggilan atau 'call centre'.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, serbuan jam 10.15 malam pada Khamis lalu itu dilakukan sepasukan anggota Jabatan Siasatan Jenayah ( JSJ) D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen ( IPK) Johor bersama bahagian siasatan jenayah cawangan D7 Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.

"Menerusi serbuan itu, tujuh individu terdiri daripada enam lelaki dan seorang perempuan berusia 18 hingga 34 tahun yang disyaki menjalankan kegiatan judi dalam talian ditahan.

"Polis merampas enam set komputer, 35 buah telefon bimbit pelbagai jenama, dua modem wifi dan serangkai kunci rumah," katanya pada sidang akhbar di IPK Johor di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, siasatan awal mendapati kesemua suspek ditangkap berperanan sebagai operater tambah nilai dan cuci kredit selain berperanan berinteraksi dengan pelanggan untuk mempromosikan judi dalam talian.

"Segala transaksi dilakukan melalui perbankan dalam talian daripada beberapa akaun yang telah dikenalpasti di mana semua akaun bank adalah akaun bank Malaysia. Gaji yang dibayar antara RM2,000 sebulan dan diberi komisen sebanyak satu peratus.

"Sindiket yang telah beroperasi sejak Jun lalu ini sudah mempunyai kira-kira 7,000 pelanggan dengan kutipan harian antara RM15,000 hingga RM20,000. Kesemua suspek telah direman dibawah Seksyen 117 Kanun Prosuder Jenayah dan kes disiasat dibawah Seksyen Seksyen 4(1)(g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Sementara itu, Ayob Khan berkata sebanyak lima serbuan dan pemeriksaan menerusi Op Dadu dilakukan Polis Johor bagi daerah Johor Bahru dan Iskandar Puteri sepanjang tempoh 1 Ogos hingga Sabtu lalu.

"Menerusi serbuan tersebut, seramai 28 individu terdiri daripada 20 lelaki dan lapan perempuan warga tempatan berusia lingkungan 18 hingga 34 tahun yang mengendalikan judi dalam talian berjaya ditangkap.

"Selain itu, dalam serbuan tersebut polis turut merampas 18 unit komputer, enam unit komputer riba, 117 telefon bimbit pelbagai jenama, satu i-pad dan wang tunai sebanyak RM570," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!