[VIDEO] Pengusaha restoran mengaku tidak bersalah langgar doktor

A
A
A

BUKIT MERTAJAM - Seorang pengusaha restoran makanan barat mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan terhadap seorang doktor pada Disember lalu.

Khor Wei Yeak, 32, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nurul Rasyidah Mohd Akit di Mahkamah Majistret 1 di sini pada Rabu.

Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret 1 untuk dituduh menyebabkan kecederaan terhadap seorang doktor pada Disember lalu.
Tertuduh dibawa ke Mahkamah Majistret 1 untuk dituduh menyebabkan kecederaan terhadap seorang doktor pada Disember lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh dengan sengaja telah menyebabkan cedera ke atas L Avinash, 32, dengan melanggar menggunakan sebuah kereta.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di lorong ketiga Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) Tol Plaza Perai, Perai pada jam 11.30 malam, 28 Disember lalu.

Oleh demikian, tertuduh didakwa telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nur Amalina Harun manakala tertuduh diwakili peguam, C Hari Prassaad Rao.

Siti Nur Amalina menawarkan jaminan RM8,000 kepada tertuduh namun Hari Prassaad memohon jaminan dikurangkan berikutan anak guamnya mempunyai tanggungan keluarga.

Artikel Berkaitan:

"Tertuduh sudah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia setahun lima bulan. Dia menjalankan perniagaan makanan dengan keuntungan sebulan antara RM1,500 hingga RM2,000.

"Anak guam saya ditahan pada 29 Disember dan direman sejak tarikh tersebut.

"Sepanjang tempoh reman, dia memberi kerjasama penuh selain alamat tetapnya di Bukit Mertajam. Dengan itu, saya mohon wang jaminan dikurangkan," katanya.

Nurul Rasyidah kemudiannya menetapkan jaminan RM5,000 dengan seorang penjamin dan menangguhkan kes sehingga 4 Mac ini untuk laporan perubatan serta serahan dokumen.

Terdahulu, Sinar Harian melaporkan seorang peniaga ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan berhubung kes seorang doktor yang cedera selepas dilanggar sebuah kereta di lorong RFID di Plaza Tol Perai, Perai.

Sebelum ini, satu rakaman video memaparkan seorang lelaki dilanggar sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X50 di sebuah plaza tol dipercayai di Perai.

Video berdurasi 26 saat itu memaparkan kenderaan tersebut diundur sebelum mangsa dilanggar dari arah depan.

Kenderaan itu kemudiannya dilihat menukar laluan ke lorong tol di sebelah kanan.

Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan dan menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Bukit Mertajam.

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!