Kedai runcit jual ubat, tembakau tidak berdaftar diserbu

BUKIT MERTAJAM – Taktik licik peniaga yang berselindung di sebalik kedai runcit terbongkar apabila pelbagai ubatan, kosmetik dan produk tembakau tidak berdaftar dirampas dalam Operasi Bersepadu Op Taring Dosej di sini pada Ahad.
Operasi yang dijalankan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP) Zon Utara dengan kerjasama Cawangan Farmasi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Pulau Pinang dan Cawangan Kesihatan Awam KKM Seberang Perai Tengah itu dilaksanakan di tiga premis perniagaan di Plaza Bukit Mertajam, Jalan Arumugam Pillai.
Komander Pasukan Simpanan Persekutuan, Senior Asisten Komisioner Rosli Md Yusof berkata, pemeriksaan mendapati premis terbabit menyimpan dan menjual pelbagai produk ubatan, kosmetik serta tembakau yang tidak mempunyai kelulusan dan pendaftaran sah daripada KKM.
"Premis berkenaan dikesan beroperasi seperti kedai runcit biasa, namun pemeriksaan lanjut menemukan pelbagai produk terlarang yang disimpan untuk jualan kepada orang awam,” katanya dalam kenyataan.
"Operasi yang dijalankan dari jam 12 tengah hari hingga 3.30 petang itu membawa kepada pengeluaran dua notis saman mahkamah oleh pihak KKM terhadap pemilik premis terlibat," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Rosli berkata, semua barangan yang ditemui telah dirampas dan disita bagi tujuan siasatan lanjut.
"Anggaran nilai rampasan melibatkan ubatan tidak berdaftar berjumlah RM130,000, manakala produk tembakau bernilai RM28,166, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sebanyak RM158,166.
"Kes disiasat di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 di bawah Akta Jualan Dadah, selain Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852)," katanya.
Menurutnya, semua barangan rampasan telah diserahkan kepada pihak KKM untuk tindakan lanjut mengikut peruntukan undang-undang.
"PDRM dengan kerjasama KKM akan terus mempergiat operasi bersepadu bagi membanteras penjualan ubatan dan produk tembakau tidak sah yang boleh mengancam kesihatan serta keselamatan orang awam.
"Kerjasama strategik antara agensi penguat kuasa akan terus diperkukuhkan bagi memastikan kegiatan haram seumpama itu dapat dibendung secara berterusan," katanya.
Ringkasan AI
- Operasi Bersepadu Op Taring Dosej menyita pelbagai ubatan, kosmetik dan produk tembakau tidak berdaftar di Bukit Mertajam
- Pasukan Simpanan Persekutuan bersama Cawangan Farmasi KKM menjalankan pemeriksaan di tiga premis di Plaza Bukit Mertajam
- Premis dikesan menyimpan dan menjual produk tanpa kelulusan KKM
- Barangan dirampas untuk siasatan dengan anggaran nilai rampasan sebanyak RM158,166
- Kes disiasat di bawah akta kawalan dadah, kosmetik dan produk merokok demi kesihatan awam
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

