X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

MTEM gesa kerajaan tumpu tujuh fokus penting perubahan ekonomi

MTEM
A
A

SHAH ALAM – Majlis Tindakan Ekonomi Melayu (MTEM) menyarankan kerajaan memberi tumpuan terhadap tujuh perkara utama ke arah perubahan ekonomi melalui tindakan jangka pendek dan panjang dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Belanjawan 2022.

Felo Kanan MTEM, Ahmad Yazid Othman berkata, pihaknya sedang bekerjasama dengan semua pemegang taruh ekonomi dalam kerajaan dan masyarakat untuk memastikan idea tersebut dapat dipertimbangkan secara serius.

“Pertamanya, bantuan khas dan penyelamat Covid-19 di mana mesti merangkumi enam hingga 18 bulan subsidi gaji dan dana pusingan khas untuk perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) dengan pemindahan tunai lebih banyak untuk B20 ditambah dengan strategi percukaian baharu,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Selain itu, Ahmad Yazid berkata, fokus kedua adalah merangka strategi pelaburan langsung asing (FDI) baharu merangkumi pemindahan teknologi sebenar dan mencipta pekerjaan yang bermakna bagi rakyat Malaysia.

Menurutnya, kerajaan juga perlu meneliti cadangan jaminan pekerjaan dan tidak menangguhkan kenaikan gaji minimum serta upah.

“Seterusnya, kita harus memperkenalkan Cukai Keuntungan Modal pada kadar satu peratus tetapi kurangkan Cukai Korporat untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi tahun 2022.

“Fokus kelima, kerajaan mesti membuat pendirian dasar yang jelas dan mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam dua tahun yang merangkumi pemberian pemutihan kepada semua pekerja asing tanpa izin untuk melengkapkan keperluan ekonomi semasa ketika ini,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, fokus keenam melibatkan dasar kewangan di mana kerajaan boleh mempertimbangkan pelupusan hutang untuk jumlah faedah terkumpul daripada semua pinjaman isi rumah seperti dilakukan di Jerman pada masa lalu selepas Perang Dunia Kedua.

Ujarnya, fokus terakhir membabitkan polisi pembangunan bumiputera yang lebih baik.

“Sebaiknya semua perlu menerima dasar yang ada dan bekerja untuk memastikan ia berkesan dan bukannya terpengaruh dengan desakan supaya dasar berasaskan keperluan (need based) menggantikan dasar berdasarkan tindakan afirmatif bersasar kepada mana-mana kumpulan.

“Dalam setiap krisis, peluang juga akan tiba, kami berharap kerajaan tidak mensiakan peluang pada masa ini untuk melaksanakan ‘reset’ pada beberapa keadaan ekonomi secara radikal untuk memberi manfaat kepada rakyat termasuk bumiputera,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!