X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 08 Disember 2021

Kimia Terengganu jadi pusat analisis DNA forensik jenayah Zon Timur

Ahmad Amzad (empat dari kiri) melihat barang yang akan dianalisis DNA di Makmal Sehenti Analisis DNA Forensik di Kimia Terengganu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Makmal Sehenti Analisis Asid Deoksiribonukleik (DNA) Forensik Zon Timur yang diwujudkan di Jabatan Kimia Terengganu sejak April lalu akan memperluaskan perkhidmatannya dengan menerima sampel kes jenayah bermula Januari nanti.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, sampel kes jenayah seperti bunuh, rogol, menyebabkan kecederaan dan samun dikendalikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di negeri Pantai Timur akan dianalisis di makmal tersebut.

Menurutnya, sebelum ini semua sampel DNA forensik jenayah melibatkan negeri Terengganu, Pahang dan Kelantan akan dihantar ke ibu pejabat di Selangor untuk dianalisis dan prosesnya mengambil masa sehingga 30 hari sebelum keputusan diperolehi.

"Dianggarkan sebanyak 60 kes jenayah di Pantai Timur yang memerlukan analisis DNA forensik dihantar ke ibu pejabat pada setiap bulan dan dengan kewujudan makmal sehenti ini, ia akan memberi kemudahan serta memendekkan tempoh keputusan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Makmal Sehenti Analisis DNA Forensik dan Makmal Sehenti Analisis Air Zon Timur Sempena Sambutan Jubli Emas Jabatan Kimia Terengganu di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Pengarah Kimia Malaysia, Mohd Zaini Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Ahmad Amzad berkata, ketika memulakan operasinya sebelum ini, Makmal Sehenti Analisis DNA Forensik di Kimia Terengganu yang dikendalikan oleh tiga pegawai menawarkan perkhidmatan ujian paterniti kepada orang awam dari Terengganu dan Kelantan.

Selepas itu katanya, makmal tersebut turut memperluaskan perkhidmatan ujian paterniti kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Terengganu, Pahang dan Kelantan bagi menangani masalah kewarganegaraan untuk menentukan pertalian kekeluargaan antara anak dan ibu bapa akibat ketiadaan surat kelahiran.

"Sehingga 15 September lalu, sebanyak enam kes paterniti dengan 21 barang kes telah diterima untuk analisis. Walaupun kecil, ia adalah permulaan sebelum kes-kes jenayah melibatkan pembunuhan, rogol, pergaduhan, penculikan, rompak, pecah rumah dan sebagainya dibuka kepada PDRM pada Januari tahun depan.

"Saya harap, makmal ini akan menjadi makmal rujukan yang dapat memenuhi keperluan pelanggan khususnya bagi negeri Pantai Timur tanpa perlu lagi ke ibu pejabat di Selangor," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!