X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 03 Julai 2022

'Rider' p-hailing langgar lampu merah berdepan tindakan: JPJ

Sebanyak 85 notis dikeluarkan atas pelbagai kesalahan sepanjang operasi yang dijalankan selama dua jam di persimpangan lampu isyarat Kampung Pengadang Baru, di Kuala Terengganu pada Ahad.
A
A

KUALA TERENGGANU - Tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang dikenal pasti melanggar lampu isyarat merah terutama membabitkan penunggang perkhidmatan penghantaran makanan (p-hailing).

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan dan Operasi) Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Aedy Fadly Ramli berkata, operasi rutin 'Ops Merah' akan diaktifkan khususnya di lokasi yang dikenal pasti kerap berlaku pelanggaran lampu isyarat merah di seluruh negara.

"Banyak aduan diterima berhubung kesalahan melanggar lampu isyarat merah terutama melibatkan rider p-hailing. Ia merupakan satu isu yang serius kerana turut melibatkan soal nyawa dan keselamatan pengguna jalan raya lain.

"Sehubungan itu, kita akan mengadakan operasi khas secara berperingkat di seluruh negara bagi membendung perkara sebegini daripada terus berleluasa," katanya pada sidang akhbar selepas melawat Institut Memandu (IM) Bitara di sini pada Ahad.

Dalam pada itu, beliau berkata, kesalahan melanggar lampu lampu isyarat merah boleh dikenakan tindakan saman di bawah Seksyen 79 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987 memperuntukkan kompaun maksimum RM300 dan denda mahkamah tidak lebih RM2,000.

"Setakat ini rekod di seluruh negara bagi kesalahan ini pada 2019 ialah sebanyak 22,656 kes dan kompaun telah dikeluarkan. Pada 2020 jumlah kes agak berkurangan kepada 12,764 kes disebabkan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Tahun ini kes pelanggaran lampu merah kini semakin bertambah selepas kelonggaran pergerakan diberikan. Di Terengganu sahaja, sehingga Ogos lalu sebanyak 476 kes dikesan membabitkan kesalahan melanggar lampu merah di mana merupakan kesalahan kedua tertinggi selepas tidak memakai topi keledar, " katanya.

Pada Ahad, sebanyak 85 notis dikeluarkan menerusi Ops Merah yang diadakan selama dua jam di persimpangan lampu isyarat Kampung Pengadang Baru, di sini.

Antara kesalahan dikesan ialah tidak mematuhi isyarat merah, tiada lesen memandu motosikal dan motokar, tidak memakai topi keledar, tidak memakai tali pinggang keledar, tidak menggunakan laluan dengan betul, nombor pendaftaran tidak mengikut sepesifikasi, tiada lesen GDL, kesalahan cermin gelap serta tidak menampal pelekat L.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!